KUALA LUMPUR: Sebuah video tular di media sosial memaparkan seekor anjing kencing di dalam sebuah pusat membeli-belah terkenal di Lembah Klang ketika berlangsungnya sebuah ekspo haiwan di sana baru-baru ini.
Kejadian berkenaan mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan orang ramai dan mendapat perhatian luar biasa kerana isu mall mesra haiwan peliharaan sedang hangat dibincangkan dalam masyarakat tempatan.
BACA : Pusat Beli-belah Mesra Haiwan Peliharaan Pertama Malaysia
Menerusi rakaman yang dikongsi pengguna media sosial, kelihatan anjing berkenaan melepaskan air kencing di kawasan laluan awam mall, sementara pengunjung lain dilihat hanya mampu memerhati situasi tersebut tanpa sebarang tindakan segera daripada pihak penganjur atau pengendali haiwan.
Insiden berkenaan mengundang pelbagai reaksi, khususnya dalam kalangan masyarakat Islam yang menzahirkan kebimbangan berkaitan isu kebersihan serta sensitiviti hukum, memandangkan pusat beli-belah merupakan ruang awam yang dikunjungi pelbagai lapisan masyarakat.
Bagaimanapun, beberapa netizen bukan beragama Islam turut menyuarakan rasa tidak selesa terhadap kejadian itu, dengan menyifatkan perbuatan membiarkan haiwan membuang najis di dalam mall sebagai tidak wajar dan mencerminkan kegagalan kawalan serta pengurusan acara.
“Ini bukan isu agama semata-mata, soal kebersihan dan keselesaan pengunjung juga perlu diambil kira,” komen seorang pengguna media sosial.
Mungkin pemilik haiwan berkenaan juga tidak sempat bertindak, namun pihak mall atau penganjur seharusnya ada kaedah untuk memastikan perkara seperti ini tidak terjadi pada masa hadapan.
Setakat ini, belum terdapat sebarang kenyataan rasmi daripada pihak pengurusan pusat beli-belah mahupun penganjur expo berkenaan insiden tersebut.
Orang ramai menggesa agar garis panduan lebih ketat dikenakan terhadap acara melibatkan haiwan, khususnya apabila diadakan di kawasan tertutup dan berkonsepkan ruang awam.
Insiden ini sekali lagi membuka perbincangan mengenai kesesuaian penganjuran acara melibatkan haiwan di pusat beli-belah, serta keperluan menghormati sensitiviti dan keselesaan semua pengunjung tanpa mengira latar belakang agama.


