KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengekalkan struktur Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sedia ada, sambil melaksanakan penambahbaikan bagi memastikan sistem percukaian yang lebih cekap dan berkesan.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying, berkata langkah itu adalah pendekatan bagi mengekalkan cukai penggunaan secara bersasar, dengan barang dan perkhidmatan asas yang lazimnya digunakan oleh rakyat secara amnya tidak dikenakan cukai.
“SST adalah sistem percukaian yang lebih bersasar dan digunakan di Malaysia sejak lebih 40 tahun lalu serta sistem yang difahami oleh industri, peniaga dan rakyat.
“Pelaksanaan SST juga dapat memberikan impak fiskal lebih pantas kepada kerajaan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Senator Datuk C Sivaraj berkenaan pendekatan kerajaan dalam mempertimbangkan pelaksanaan semula Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) atau penampakbaikan terhadap sistem SST yang lebih sesuai bagi memastikan sistem percukaian negara kekal berdaya tahan.
Hui Ying berkata, kerajaan belum berhasrat melaksanakan GST kerana pendapatan rakyat secara amnya masih rendah untuk menerima impak cukai GST yang bersifat lebih meluas kepada majoriti rakyat.
“Kerajaan mengambil maklum berkenaan kebaikan sistem GST, namun seperti yang dijelaskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebelum ini, kerajaan belum berhasrat melaksanakan GST.
“Langkah memperkenalkan semula GST memerlukan masa persediaan yang lebih panjang, mungkin sehingga dua tahun bagi memberi ruang kepada syarikat untuk mengemas kini sistem sebelum GST dilaksanakan,” katanya.
Dalam masa sama, Hui Ying berkata, kerajaan mempertimbangkan pelbagai aspek sebelum memutuskan kaedah percukaian paling sesuai untuk mengukuhkan kedudukan fiskal negara ketika ini.
“Kerajaan mempertimbangkan aspek struktur keseluruhan sistem percukaian negara sedia ada, ruang penambahbaikan yang boleh dilakukan, kedudukan ekonomi semasa, keperluan hasil kerajaan serta taraf hidup rakyat secara keseluruhan,” katanya.
Bernama-


