SHAH ALAM: Kerajaan memutuskan untuk menggunakan MyKad bagi program Budi Madani RON95 (BUDI95), berbanding data Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) kerana prosesnya yang tidak kompleks, selain mengambil kira tekanan kos sara hidup rakyat.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata kerajaan menggunakan PADU untuk melaksanakan analisis bagi pelbagai tujuan, dengan permintaan daripada pelbagai agensi dan kementerian, termasuk Kementerian Kewangan.
“Bagaimanapun, untuk BUDI95, kita tidak perlu menggunakan 100 peratus data PADU kerana kita tidak ada kriteria lain, hanya kriteria sama ada anda warga negara, ada lesen memandu atau tidak, lesen memandu sah atau tidak.
“Jadi, kriterianya sangat terhad. Kita tidak perlu menggunakan sesuatu yang kompleks,” katanya pada Taklimat Media Penyasaran Subsidi RON95 di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Amir Hamzah berkata, kerajaan mengambil kira masalah kos sara hidup rakyat, justeru mengambil pendekatan bahawa semua rakyat layak untuk mendapat subsidi di bawah program itu.
“Apa yang kita janjikan daripada segi harga RM1.99 itu, kita kotakan dengan penyasaran subsidi yang kita buat sekarang.
“Daripada apa yang kita buat ini, masih ada penjimatan (kos subsidi ditanggung kerajaan) akibat ketirisan yang berlaku daripada penyeludupan dan penggunaan minyak yang tidak sepatutnya oleh warga asing yang masuk.
“Kita juga ambil kira, jika kita rakyat Malaysia, kita dapat lebih kelebihan, berbanding bukan rakyat Malaysia, Jadi, kita ambil balik subsidi daripada mereka yang tidak berhak,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai PADU, Amir Hamzah, berkata permintaan terhadap penggunaan data PADU semakin meningkat daripada pelbagai agensi.
“Kita gunakan untuk menetapkan dasar dan dalam Kementerian Kewangan pun, kita akan guna bagi mengesahkan dan membuat semakan silang kerana lebih banyak data yang kita sahkan, kemungkinan adanya kesilapan dapat dikurangkan,” katanya.
BHonline-


