KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong menafikan kerajaan sedang mempertimbangkan untuk mengurangkan lagi had subsidi petrol RON95 di bawah program BUDI95 daripada 200 liter kepada 150 liter sebulan.
Menurut beliau, laporan media berhubung perkara tersebut tidak tepat kerana diambil di luar konteks berhubung kenyataannya mengenai strategi kerajaan untuk menangani krisis tenaga.
“Saya tidak membuat sebarang pengumuman baharu bagi pihak kerajaan dan saya juga tidak pernah mengumumkan had 150 liter berpotensi menjadi dasar kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Chin Tong berkata, beliau ketika itu menjelaskan Budi95 adalah mekanisme yang baik kerana ia memberikan data menyeluruh untuk memahami corak perjalanan harian rakyat Malaysia.
Menurutnya, keutamaan kerajaan dan seluruh masyarakat adalah untuk memastikan kita mempunyai bekalan petrol yang mencukupi untuk tempoh yang paling lama.
Tambahnya, masyarakat kita mesti memastikan bekalan petrol dapat bertahan untuk tempoh yang paling lama, dan kita perlu membina konsensus untuk menyokong usaha penjimatan penggunaan petrol.
“Saya kesal kerana kenyataan saya telah mencetuskan salah faham, dan saya berharap semua pihak dapat memahami konteks penuh apa yang sebenarnya saya katakan,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Liew Chin Tong


