Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memberi fokus memperkukuh bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam usaha melahirkan bakat terbaik negara yang memenuhi keperluan industri semasa.
TVET bukan lagi pilihan kedua
Ketua Setiausaha KPT, Datuk Dr. Anesee Ibrahim berkata, graduan TVET kini mempunyai kedudukan yang setara dengan graduan akademik apabila struktur laluan kerjaya dan tahap pengiktirafan semakin jelas.
“Kita ada empat universiti teknikal iaitu Universiti Malaysia Pahang al-Sultan Abdullah (UMPSA), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).
“Universiti-universiti tersebut digabungkan dalam satu jaringan dikenali sebagai Rangkaian Universiti-Universiti Teknikal Malaysia (MTUN). Peranan mereka memfokuskan kepada pembangunan bakat teknikal negara.
“Majoriti pelajar di institusi ini datang dari politeknik dan kolej komuniti yang berfungsi sebagai feeder utama,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Mynewshub.

Dr. Anesee berkata, Majlis TVET Negara dilihat sebagai platform penting untuk mengubah persepsi masyarakat bahawa bidang tersebut bukan lagi laluan pendidikan pilihan kedua.
Menurut beliau, bagaimanapun usaha ini bukan hanya terletak di bahu kerajaan atau KPT semata-mata, sebaliknya memerlukan penglibatan aktif industri.
“Kalau sekarang ini, ramai yang memilih TVET hanya bila tidak dapat tempat di universiti akademik. Apa yang kita mahu capai ialah supaya TVET berdiri sama tinggi, bahkan jadi laluan utama kepada pelajar,” ujarnya.
Antara pendekatan yang ditekankan melalui Majlis TVET Negara ialah memastikan industri sendiri turut menyediakan peluang dan penawaran setara, termasuk dari aspek gaji dan kerjaya.
“Kalau graduan diploma TVET dan diploma akademik menerima gaji pada kadar sama serta peluang kerjaya yang seimbang, ia akan menjadi faktor penarik. Barulah ibu bapa dan pelajar tidak lagi melihat TVET sebagai laluan pilihan kedua,” jelasnya.
Beliau turut menekankan bahawa di negara maju seperti di Eropah, kerjaya dalam bidang kemahiran teknikal mampu menawarkan pendapatan lebih tinggi berbanding profesion seperti peguam atau jurutera.
Situasi itu berlaku kerana wujudnya kuasa pasaran yang mendorong industri menghargai tenaga mahir.
“Kerajaan boleh sediakan dasar, tetapi kejayaan hanya berlaku jika industri turut mainkan peranan. Sebab itu kita mahu melalui Majlis TVET Negara, semua pihak berkepentingan termasuk kementerian, agensi dan industri sama-sama bergerak.
“Hanya dengan cara itu barulah TVET boleh berjaya,” kata beliau.
Kadar Bekerja Graduan
Selain itu, Kadar Bekerja Graduan (Graduate Employment Rate – GE) terus menunjukkan peningkatan positif apabila mencatatkan 92.5 peratus pada tahun 2024, berbanding 90.9 peratus pada tahun sebelumnya.
Difahamkan, KPT memperkenalkan indikator baharu iaitu Kadar Bekerja Graduan menggantikan Kadar Kebolehpasaran Graduan selaras dengan Kadar Siswazah Bekerja yang digunapakai oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan International Labour Organization (ILO) di peringkat antarabangsa sebagai penanda aras rasmi.
Artikel berkaitan: TVET Bantu Perkasa Tenaga Kerja Malaysia Bagi Industri Pertumbuhan Tinggi – Pakar Ekonomi
Menurutnya, perubahan kaedah pengiraan ini dibuat kerana indikator baharu tersebut dianggap lebih relevan dalam menggambarkan sejauh mana graduan benar-benar memperoleh pekerjaan selepas tamat pengajian.
Tambahnya, KPT melalui Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) sentiasa mengumpul serta menilai maklumat berkaitan graduan bagi memastikan dasar pendidikan tinggi kekal relevan dengan keperluan pasaran kerja semasa.

Kurikulum seragam ikut industri
Menyentuh soal kurikulum, Dr. Anesee menjelaskan KPT kini dalam proses menyelaras semula silibus pengajian bagi memastikan ia lebih seragam, relevan dan mampu menepati permintaan industri semasa.
Beliau berkata, semakan kurikulum ini bukan sahaja melibatkan pihak universiti, malah turut mendapat input daripada pelbagai agensi profesional.
“Kurikulum ini disemak oleh jawatankuasa yang dianggotai agensi berkaitan termasuk Malaysia Board of Technologists (MBOT). Kita juga ada kerjasama dengan MTUN bagi membangunkan standard yang lebih jelas untuk graduan TVET,” katanya.
Pastikan semua program miliki MQA
Sementara itu, setiap program di universiti awam dipastikan berada pada standard yang tepat menerusi pemantauan agensi khusus iaitu Malaysia Qualification Agency (MQA).
Dr. Anesee berkata, semua program pengajian di universiti perlu mendapat pengiktirafan MQA sebelum ditawarkan kepada pelajar di mana mereka yang berpotensi boleh mendaftar dalam mana-mana program diminati dengan memastikan program tersebut memiliki pensijilan MQA.
“Kita ada satu agensi yang paling penting, iaitu MQA. Semua program universiti mesti ada pengiktirafan MQA, dan agensi ini juga mempunyai portal terbuka untuk disemak oleh pelajar.
“Setakat yang saya ketahui, bagi universiti awam memang tidak ada masalah. Cuma bagi universiti swasta (IPTS), ada segelintir yang mungkin ketinggalan.
“Sebab itu penting untuk pelajar menyemak dahulu sama ada program yang ingin diikuti sudah mendapat pengiktirafan MQA atau belum,” maklumnya lagi.
Projek pemindahan dan perkongsian ilmu
Selain itu, beliau menegaskan bahawa pemindahan ilmu dan hasil penyelidikan universiti kepada masyarakat menjadi antara salah satu fokus utama kementerian pada tahun ini.
Malah katanya, perkara ini turut mendapat perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu melihat penyelidikan di universiti memberi manfaat secara langsung kepada komuniti, bukan sekadar kekal di peringkat akademik atau makmal.
“Sebelum ini ada pandangan bahawa penyelidikan universiti hanya habis dalam makmal, tidak dimanfaatkan. Tetapi sebenarnya banyak universiti awam telah melaksanakan penyelidikan yang memberi impak terus kepada masyarakat,” katanya.

Beliau memberi contoh inisiatif Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang membantu para nelayan di Pasir Puteh meningkatkan kualiti produk ikan kering.
“UMK membantu dari aspek kaedah pengeringan, pembungkusan dan juga pemasaran produk. Dengan sokongan itu, pendapatan nelayan terbabit berjaya ditingkatkan. Inilah yang dimaksudkan dengan pemindahan ilmu universiti kepada komuniti,” jelasnya.
Pada masa sama, Dr. Anesee berkata KPT telah menetapkan dasar bagi menggalakkan ahli akademik melibatkan diri secara aktif dalam penyelidikan berbentuk gunaan.
Namun begitu, beliau menjelaskan universiti tetap perlu mengekalkan keseimbangan antara penyelidikan akademik dan gunaan.


