KUALA LUMPUR: Siasatan berhubung insiden pelajar Tingkatan Tiga jatuh dari tingkat tiga sebuah asrama sekolah di Sabak Bernam kini berada pada landasan lebih jelas apabila polis mula memperoleh petunjuk yang boleh merungkai punca kejadian itu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, berkata siasatan masih diteruskan secara menyeluruh bagi memastikan setiap aspek diperhalusi sebelum sebarang rumusan dibuat.
“Proses siasatan masih berterusan, namun ia menampakkan hala tuju yang lebih positif bagi mengenal pasti punca kejadian sebenarnya.
“Banyak pihak membantu pihak polis sehingga kini,” katanya dalam jawapan ringkas kepada BH hari ini.
Difahamkan, lebih 12 saksi sudah dirakam keterangan setakat ini membabitkan pelbagai pihak, termasuk pelajar dan kakitangan sekolah, namun Shazeli enggan mengulas lanjut mengenai jumlah sebenar.
Pada 24 Ogos lalu, seorang pelajar lelaki Tingkatan Tiga dilaporkan parah selepas terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sebuah sekolah menengah di Sabak Bernam.
Mangsa, Ahmad Irfan Ahmad Hanafi, 15, kini dirawat di Hospital Sungai Buloh (HSB) selepas dipindahkan dari Hospital Sabak Bernam.
Shazeli sebelum ini dilaporkan berkata, siasatan dijalankan daripada pelbagai sudut, termasuk aspek keselamatan pelajar, pengurusan asrama serta latar belakang sosial mangsa dan rakan sekelilingnya
Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001, manakala Kementerian Pendidikan turut memulakan siasatan dalaman berhubung prosedur operasi standard (SOP) keselamatan asrama.
Semalam, EXCO Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin dilaporkan berkata, mangsa yang dirawat di Unit Rawatan Intensif (ICU), HSB dilaporkan semakin stabil serta memberikan tindak balas positif terhadap rawatan.
BHonline-


