SHAH ALAM: Pelajar lelaki Tingkatan Tiga yang dipercayai terjatuh dari tingkat tiga asrama sebuah sekolah di Sabak Bernam masih belum sedarkan diri.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, berkata setakat ini siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.
“Belum (sedar) lagi. Siasatan masih diteruskan seperti kenyataan media saya sebelum ini,” katanya ringkas ketika dihubungi hari ini.
Pelajar terbabit, Ahmad Irfan Ahmad Hanafi, 15, dilaporkan menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh.
Shazeli dalam kenyataan pada Selasa lalu berkata, sejurus menerima laporan berkenaan insiden itu satu kertas siasatan dibuka.
Katanya, siasatan dijalankan daripada pelbagai sudut, termasuk aspek keselamatan pelajar, pengurusan asrama serta latar belakang sosial mangsa dan rakan sekelilingnya.
Semalam, media melaporkan petugas sekolah antara pihak yang dipanggil polis bagi dirakam keterangan berhubung kes seorang pelajar Tingkatan Tiga terjatuh dari bangunan asrama sebuah sekolah di Sabak Bernam.
Shazeli dilaporkan berkata, siasatan masih dijalankan dengan beberapa keterangan telah diambil membabitkan pelbagai pihak.
“Rakaman percakapan diambil termasuk daripada pihak sekolah,” katanya.
BHonline-


