Gombak: Guru wanita yang disyaki mendera seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun direman enam hari bermula hari ini.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, ia bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 32(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
“Reman dibenar selama enam hari bermula hari ini hingga 5 Jun bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan ringkas hari ini.
Terdahulu Harian Metro melaporkan, guru wanita yang dipercayai mendera seorang kanak-kanak perempuan di sebuah tadika swasta di Kota Emerald, Rawang di sini, ditahan polis semalam.
Wanita berusia 30 tahun terbabit ditahan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak kira-kira 2 petang.
Noor Ariffin dilapor berkata, tangkapan dilakukan susulan laporan yang dibuat bapa mangsa pada 11.13 malam kelmarin.
Siasatan mendapati kejadian berlaku kira-kira 10 pagi pada 26 Mei lalu apabila bapa mangsa yang berusia 34 tahun mendakwa melihat kesan kecederaan di kepala anaknya.
Mangsa memberitahu ia berpunca daripada tindakan seorang guru yang mencederakannya menggunakan pen semasa berada di tadika.
Berikutan itu, beliau berkata, bapa membawa anaknya ke Hospital Selayang untuk rawatan lanjut dan disahkan mengalami kecederaan di kepala.
-Harian Metro


