Butterworth: Lelaki warga emas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh rakan lelakinya pada bulan lalu.
Tertuduh Yee Fat Seong, 70, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nor Azah Kasran.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan kerana kes di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, Yee didakwa melakukan perbuatan bunuh sehingga menyebabkan kematian Loo Ah Teong berusia 63 tahun di pondok rehat di Jalan Kolam, Cherok Tokun, Seberang Perai Tengah antara jam 2 hingga 3.22 petang, 27 April lalu.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun dan sekiranya tidak dihukum mati, hendaklah dikenakan sebatan tidak kurang daripada 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurameera Shahrul Azrin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan sebutan semula kes ditetapkan 30 Jun.
Terdahulu media melaporkan lelaki maut dipukul dengan kayu sebelum ditikam dengan pisau dalam kejadian 27 April lalu.
-Harian Metro


