KUALA LUMPUR – Majlis Profesor Negara (MPN) berpendapat para saintis tempatan perlu diberi lebih peluang dalam membantu kerajaan merangka dasar negara khususnya berhubung isu alam sekitar.
Menurut Ketua Kluster Sumber Asli dan Alam Sekitar MPN, Profesor Emeritus Datuk Dr Ibrahim Komoo, peluang golongan saintis dalam perkara itu lebih kecil berbanding peluang yang diperoleh badan bukan kerajaan (NGO).
Katanya, ahli sains mempunyai banyak pendapat dan pandangan yang boleh disumbang dalam pembentukan dasar negara, tetapi peluang itu terhad memandangkan hanya sebahagian kecil daripada mereka menyertai NGO.
“Kami ingin bertindak sebagai ilmuan dan pakar yang seharusnya dapat menasihati isu alam sekitar dengan cara yang lebih tepat,” katanya kepada pemberita pada Sesi Dialog Sumber Asli dan Alam Sekitar Kebangsaan 2015, di sini, hari ini.
Pendapat sama turut disuarakan Pengarah Majlis Sains Antarabangsa (ICSU) pejabat serantau bagi Asia dan Pasifik Profesor Emeritus Mohd Nordin Hasan yang menegaskan hasil kajian mendalam para saintis melalui perolehan data yang tepat dapat membantu kerajaan melaksanakan dasar yang lebih efektif.
“Pembuatan dasar adalah berdasarkan kepada ‘evidence based’ (berdasarkan bukti) yang boleh dipertahankan oleh sains.
“Itu yang harus kita capai sebagai negara maju…kerana kalau kita lihat semua negara maju di dunia, mereka lebih bergantung kepada input sains dalam pembuatan dasar,” katanya.
Sesi Dialog Sumber Asli dan Alam Sekitar Kebangsaan 2015 yang dianjurkan oleh MPN di bawah kluster sumber asli dan alam sekitar bertujuan memulakan perbincangan di peringkat kebangsaan dengan para profesor yang cenderung dalam kajian alam sekitar dengan agensi kerajaan mengenai isu-isu mendesak berkaitan pembangunan alam sekitar.
Hasil perbicangan itu akan dikumpul dan dibawa ke Majlis Kongres Profesor Negara ke-3 September ini yang dijangka dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. – BERNAMA

