Kuala Terengganu : Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu akan dilakukan sebelum tempoh penggal berakhir bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).
Ikuti Mynewshub: Telegram
Bagaimanapun, Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar masih berteka-teki mengenai tarikh berkenaan dan memaklumkan ia akan dimaklumkan apabila tiba masanya.
“PRN itu akan dijalankan bila DUN bubar (dan) bila sampai waktu dan ketikanya, saya akan maklumkan.
“Sama ada ia akan dilakukan sebelum atau selepas raya… belum tahu lagi bila bubar tetapi sebelum berakhir tempoh, InsyaAllah kita bubarlah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Peringkat Negeri Terengganu di sini, hari ini.
Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden PAS berkata, pihaknya akan mempertimbangkan cadangan yang dikemukakan pihak lain berkaitan PRN sebelum memuktamadkannya.
“Kita terima itu sebagai satu cadangan termasuk cadangan-cadangan lain daripada orang lain untuk kita pertimbangkan mana yang paling sesuai,” katanya.
Ketika ditanya mengenai cadangan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari supaya PRN di Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu, Kelantan dan Selangor diadakan serentak tahun depan, Ahmad Samsuri berkata, perbincangan tidak rasmi sudah dilaksanakan dan pihaknya akan mencari ruang dalam waktu yang sama bagi melakukan pembubaran itu.
“Saya rasa biar objektifnya sama iaitu kita akan cuba cari ruang supaya waktu yang sama pembubaran itu,” katanya.
-Harian Metro


