TANJONG KARANG: UMNO Selangor sudah menerima senarai calon yang bakal bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Ikuti Mynewshub: Telegram
Pengerusinya, Tan Sri Noh Omar, berkata senarai calon itu membabitkan 22 bahagian bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Menurutnya, senarai itu kebanyakannya membabitkan lima calon bagi setiap Parlimen dan DUN termasuk penyandang.
“Semua senarai nama berkenaan selesai dan kita sudah menerimanya baru-baru ini. UMNO Selangor akan menyerahkannya kepada pucuk pimpinan tertinggi parti dalam tempoh terdekat,” katanya, hari ini.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Tanjong Karang di Institut Pengurusan Peladang (IPP), di sini.
Media sebelum ini melaporkan Pengerusi Perhubungan Negeri akan mengemukakan nama calon kepada ‘Top 5’ bagi penentuan calon UMNO, bermula Isnin depan.
Top 5 merujuk Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan serta tiga Naib Presiden iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Ahmad Zahid dipetik berkata, tiga kriteria calon ditetapkan iaitu boleh menang, boleh diterima dan disenangi pengundi.
Sementara itu, Noh berkata, dalam tempoh terdekat UMNO Selangor akan melancarkan jentera di peringkat bahagian dan cawangan sambil menambah parti itu bersedia sepenuhnya seolah-olah PRU15 berlaku esok.
BHonline-


