MELAKA – Aktiviti meronda kampung dan menyantuni penduduk dengan menunggang motosikal dilihat menjadi antara pendekatan kempen calon yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini.
Pendekatan santai itu membolehkan calon mendekati masyarakat setempat, beramah mesra serta mendengar sendiri pandangan dan keperluan penduduk tanpa terlalu terikat dengan acara kempen rasmi.
Antara yang terawal dilihat menggunakan pendekatan berkenaan ialah penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau yang juga calon Barisan Nasional (BN), Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh.
Menerusi hantaran media sosial, beliau secara berseloroh menyatakan hasrat menikmati cekodok sambil mengajak penduduk kampung mempelawanya singgah ke rumah.
“Terasa petang ni nak makan cekodok lah. Ada tak orang kampung Merlimau yang sudi buatkan cekodok untuk saya petang ni?
“Kalau ada tolong komen kita terjah terus rumah petang ni,” katanya.
Kemudian turut menarik perhatian ialah calon Pakatan Harapan (PH) DUN Kuala Linggi, Muhammad Mukhlisul Mubin Julasapiya yang berkongsi aktiviti menunggang motosikal mengelilingi Kampung Telok Gong.
Beliau memaklumkan singgah di kawasan pantai dan padang Taman Gamelan sebelum bertemu sekumpulan anak muda yang sedang bermain bola tampar.
Menurutnya, kumpulan berkenaan sempat mengusiknya supaya menaja bola tampar dan jaring baharu.
“Okay geng. Kita cuba usahakan nanti!” katanya.
Sementara itu, calon PH DUN Kelebang, Farzana Hayani Mohd Nasir yang mesra disapa Nana juga berkongsi gambarnya menunggang motosikal menerusi hantaran ringkas bertulis “Selamat Pagi, Kelebang”.
Kemunculan calon daripada parti berbeza dengan pendekatan hampir sama memperlihatkan usaha menjadikan kempen lebih dekat dengan kehidupan seharian rakyat. – MYNEWSHUB


