Setiausaha DAPSY Bidas Akmal, Tegaskan Premium Tanah KLSCAH Bukan Soal Nilai Tanah Tetapi Kegunaanny
Oleh Mynewshub
KUALA LUMPUR – Perang kenyataan mengenai premium tanah Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) terus memanas apabila sayap pemuda DAP pula tampil menjawab Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh.
Setiausaha DAPSY Kebangsaan, Lim Chun Weng, dalam satu kenyataan media malam ini berkata, keputusan menetapkan premium RM1,000 bagi pembaharuan pajakan 99 tahun itu bertujuan memelihara warisan budaya dan sudah mengambil kira kegunaan tanah tersebut yang bukan untuk tujuan komersial.
Menurutnya, nilai sesebuah tanah dan jumlah premium yang dikenakan adalah dua perkara berbeza, lebih-lebih lagi apabila tanah itu dikhaskan untuk kegunaan institusi dan pemuliharaan bangunan warisan.
Beliau menjawab cabaran Akmal yang sebelum ini meminta pihak berkenaan menunjukkan satu lot tanah di Kuala Lumpur yang tidak mempunyai nilai, dengan menegaskan tiada pihak yang mendakwa tanah KLSCAH tidak bernilai.
Kata Chun Weng, inti persoalan bukan pada nilai tanah itu sendiri, sebaliknya pada kegunaannya. Tanah komersial boleh dibangunkan menjadi kondominium atau pusat beli-belah untuk mengaut keuntungan, manakala tapak KLSCAH dikhaskan untuk institusi dan pemuliharaan bangunan warisan.
Beliau turut mempersoalkan mengapa tanah yang tidak boleh dibangunkan secara komersial perlu dinilai seperti tapak pembangunan komersial.
Jelasnya, KLSCAH ialah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan dan bangunannya diwartakan sebagai bangunan warisan sejak 2007, justeru pengurangan premium itu wajar dilihat dari sudut pemuliharaan warisan dan kepentingan awam.
Chun Weng berkata, jika semua rumah ibadat, institusi pendidikan dan pertubuhan bukan berasaskan keuntungan perlu membayar premium berdasarkan nilai pembangunan komersial, sukar untuk mereka terus berkhidmat kepada masyarakat.
Beliau menambah, Kanun Tanah Negara menyediakan rangka kerja undang-undang yang membolehkan kerajaan negeri menetapkan syarat kegunaan tanah dan kadar premium mengikut peraturan sedia ada.
Menurutnya, pengurangan premium bukan bermakna tanah itu tiada nilai, sebaliknya satu pertimbangan dasar bagi melindungi institusi warisan.
Walaupun mengakui Akmal berhak mempersoalkan asas keputusan itu, beliau berkata perbandingan angka semata-mata tanpa mengambil kira perubahan kegunaan tanah dan sekatan pembangunan boleh mencetuskan kontroversi yang tidak perlu.
Sebelum ini, Akmal menerusi hantaran Facebook mempersoalkan asas pengurangan premium yang dinilai agensi bertanggungjawab pada RM4.67 juta kepada RM1,000, selain mencabar pihak berkenaan menunjukkan lot tanah di ibu negara yang benar-benar tiada nilai.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, pula sebelum ini menjelaskan premium itu dikurangkan kerana status tanah ditukar daripada komersial kepada institusi, sekali gus tidak boleh lagi dibangunkan untuk kondominium atau pusat beli-belah. – MYNEWSHUB


