JOHOR BAHRU – Raja Muda Johor, Tunku Iskandar Ibni Tunku Ismail berkenan berangkat menyantuni anak-anak Tabika Rintis Bangsa Johor serta menyempurnakan kurniaan sumbangan bantuan kepada Bangsa Johor, hari ini.
Majlis berkenaan berlangsung di Tabika Kemas Bangsa Johor, Larkin pada Sabtu, 14 November 2026.
Menurut hantaran di akaun Facebook HRH Crown Prince of Johor, keberangkatan Baginda turut diiringi Tunku Abu Bakar Ibni Tunku Ismail.
Hadir sama ialah Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor serta Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Malaysia, Datuk Mohd Hanafiah Man.
Tabika Kemas Bangsa Johor (TKBJ) merupakan inisiatif cetusan ilham Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail bagi menyediakan pendidikan awal berkualiti kepada kanak-kanak di negeri itu.
Inisiatif berkenaan turut menjadi pelengkap kepada ekosistem Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ) dalam usaha melahirkan generasi Bangsa Johor yang berilmu dan berdaya saing.
Bagi pelaksanaan Fasa Pertama, kerajaan Johor memperuntukkan sebanyak RM4.19 juta bagi menaik taraf infrastruktur, melaksanakan latihan guru serta memperkasakan silibus pendidikan.
Peruntukan itu melibatkan 172 murid di lima Tabika, merangkumi tujuh kelas di empat lokasi sekitar Johor Bahru dan Pasir Gudang.
Selain itu, sebanyak RM550,000 dikhususkan kepada TKBJ Flat Perumahan Larkin Court 1.
Program berkenaan mencerminkan usaha Johor memperkukuh pendidikan awal kanak-kanak menerusi pembangunan kemudahan, peningkatan keupayaan tenaga pengajar dan pemerkasaan kurikulum. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial HRH Crown Prince of Johor


