KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan semua menteri, kementerian dan agensi kerajaan supaya terus menjalankan tanggungjawab masing-masing serta memastikan seluruh jentera pentadbiran dan keselamatan negara berada pada tahap kesiapsiagaan tinggi susulan perkembangan ancaman keselamatan antarabangsa yang semakin membimbangkan.
Beliau berkata, setiap kementerian dan agensi perlu memastikan penyelarasan berkesan serta badan-badan di bawah pengawasan masing-masing bersedia menghadapi sebarang kemungkinan, khususnya ancaman serangan siber, konflik geopolitik dan gangguan terhadap infrastruktur strategik negara.
“Saya ingin menegaskan bahawa bagi pihak kerajaan saban hari, semua agensi, menteri dan kementerian diminta terus menjalankan tanggungjawab, memastikan penyelarasan berkesan, dan badan-badan di bawah pengawasan mereka itu siap siaga.
“Terutama pasukan keselamatan kerana dalam pertemuan itu saya juga mendapat jaminan daripada Panglima Angkatan Tentera dan Ketua Polis Negara,” katanya ketika menyampaikan kenyataan rasmi kerajaan di Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu, Anwar menjelaskan, kerajaan mengambil maklum tindakan beberapa negara termasuk Kesatuan Eropah (EU), Kanada dan Jepun yang mengeluarkan nasihat kepada rakyat masing-masing supaya menyediakan stok makanan mencukupi bagi tempoh tiga hingga 10 hari.
Menurutnya, langkah berkenaan diambil susulan ketidaktentuan antarabangsa, khususnya serangan siber berskala besar yang dilaporkan menjejaskan infrastruktur digital dan sistem pentadbiran beberapa negara Barat.
Anwar menegaskan, insiden tersebut hanyalah sebahagian daripada perkembangan yang sedang dipantau kerajaan kerana ketegangan di Asia Barat, situasi di Yaman dan Laut Merah serta ancaman keselamatan Eropah turut berpotensi memberikan kesan kepada Malaysia.
Katanya, krisis yang berlaku di luar negara tidak boleh dianggap sebagai masalah negara terbabit semata-mata kerana kesannya boleh menjejaskan keselamatan rakyat, kestabilan ekonomi dan kepentingan strategik Malaysia.
“Mudah-mudahan Allah memelihara dan menyelamatkan negara Malaysia tercinta,” katanya. – MYNEWSHUB


