KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan kerajaan mengadakan mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) semalam bagi meneliti perkembangan ancaman keselamatan global serta memastikan Malaysia bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.
Berucap di Dewan Rakyat hari ini, beliau berkata, mesyuarat itu meneliti tiga isu utama termasuk ancaman serangan hibrid digital dan siber, konflik yang dikhuatiri membawa kepada penggunaan senjata nuklear serta perkembangan politik Eropah.
Menurutnya, mesyuarat berkenaan turut membincangkan mekanisme keselamatan sedia ada dan keperluan memperkukuh penyelarasan antara kementerian, agensi kerajaan serta pasukan keselamatan.
“Yang penting dalam perjumpaan semalam adalah membincang mekanisme sedia ada, penyelarasan yang lebih rapi antara kementerian dan agensi dan pasukan keselamatan serta memastikan negara bersedia menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya.
Anwar berkata, Ketua Setiausaha Negara akan mempengerusikan mesyuarat bersama jabatan berkaitan petang ini, manakala Gabenor Bank Negara Malaysia mengadakan sidang khas dengan institusi kewangan negara.
Katanya, kerajaan turut mengambil iktibar daripada ‘EU Preparedness Union Strategy’ yang menekankan kesiapsiagaan menyeluruh melibatkan kerajaan, sektor swasta dan masyarakat.
Beliau berkata, lima langkah utama diberikan penekanan termasuk memperkukuh penyelarasan antara agensi, meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi ancaman serta melindungi infrastruktur strategik negara.
Ini termasuk sektor tenaga, pengangkutan, kewangan dan bekalan makanan, selain memperkukuh kesiapsiagaan rakyat serta penggunaan teknologi bagi menangani serangan siber.
Dalam pada itu, Anwar turut membangkitkan potensi ancaman kegiatan risikan asing termasuk Israel serta perkembangan di negara jiran yang dipantau badan risikan tempatan.
Menjawab soalan tambahan sama ada Malaysia berpotensi menjadi sasaran, beliau berkata, kekuatan negara dalam sektor digital dan pusat data serta pendirian tegas berhubung isu Palestin dan Gaza antara faktor yang perlu diberikan perhatian. – MYNEWSHUB


