MELAKA – Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong menyifatkan perhimpunan ribuan penyokong Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) di Bukit Katil malam tadi sebagai manifestasi semangat persefahaman kedua-dua gabungan politik itu.
Beliau berkata, gelombang biru jelas kelihatan apabila ribuan penyokong BN-PN membanjiri program kemuncak Grand Finale Ceramah Birukan Melaka.
Menurutnya, persefahaman BN-PN bukan sekadar menyatukan penyokong kedua-dua gabungan untuk menghadapi lawan politik yang sama khususnya Pakatan Harapan (PH)
Sebaliknya, beliau menegaskan kerjasama itu turut membawa perjuangan lebih besar dengan mengangkat agenda kepentingan rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum.
“Persefahaman BN-PN menyaksikan penyatuan rakyat bukan sahaja untuk melawan musuh yang sama terutama PH, tetapi juga sebagai satu perjuangan yang mengangkat agenda rakyat berbilang kaum,” katanya menerusi hantaran media sosial.
Kenyataan itu memperlihatkan penekanan Presiden MCA terhadap semangat persefahaman BN-PN yang merentasi perbezaan kaum dalam memperjuangkan kepentingan rakyat.
Menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka esok, Ka Siong turut menyeru pengundi memberikan sokongan kepada calon-calon BN-PN.
“Ayuh warga Melaka, kita birukan Melaka dengan mengundi calon-calon BN-PN Sabtu ini,” katanya.
Beliau turut menyertakan tanda pagar #KitaGengBiru dalam hantaran berkenaan. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Wee Ka Siong


