MELAKA – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyifatkan kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) sebagai ‘Gelombang Biru’ yang mewarnai suasana penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di seluruh negeri pagi ini.
Beliau berkata, kerjasama itu merupakan kesinambungan muafakat yang telah terjalin di Negeri Sembilan sebelum diteruskan di Melaka atas dasar permuafakatan dan keikhlasan demi kesejahteraan rakyat.
“Alhamdulillah, pagi ini menyaksikan gelombang biru kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) yang mewarnai suasana penamaan calon di DUN-DUN seluruh Negeri Melaka.
“Ini merupakan kesinambungan muafakat yang telah terjalin di Negeri Sembilan dan diteruskan di Negeri Melaka, berteraskan permuafakatan serta keikhlasan demi kesejahteraan rakyat Melaka,” katanya menerusi hantaran di media sosial hari ini.
Menurut Asyraf Wajdi, kerjasama BN-PN perlu terus diperkukuh melalui semangat saling percaya dan bergandingan bagi merealisasikan hasrat rakyat yang mahu melihat kedua-dua parti itu bekerjasama.
Beliau berkata, kerjasama dua parti terbesar Melayu Islam itu penting demi kepentingan ummah dan masa depan negara.
“Semoga Muafakat Melaka terus membawa manfaat kepada seluruh rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, Asyraf Wajdi turut memaklumkan beliau berkesempatan mengiringi calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem pada proses penamaan calon pagi ini.
Beliau juga sempat bersama Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang di pusat penamaan calon DUN Bukit Katil.
Hantaran berkenaan turut disertakan tanda pagar #MuafakatMelaka dan #KitaGengBiru. – MYNEWSHUB


