KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Negara, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz menyifatkan kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) sebagai nikmat kesatuan yang besar dan wajib disyukuri umat.
Anak kepada Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat itu turut menyeru agar kerjasama berkenaan diperkukuh bagi mengelakkannya daripada terjejas akibat tipu daya musuh.
“BN-PN adalah nikmat kesatuan yang besar. Ia wajib disyukuri umat. Binalah untuknya kota yg kukuh agar selamat dari tipudaya musuh,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Kerjasama BN dan PN mencatat kemenangan besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 pada 14 November lalu yang menyaksikan kedua-dua gabungan tersebut menguasai 24 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
BN memenangi 21 kerusi manakala PN memperoleh tiga kerusi, sementara Pakatan Harapan (PH) hanya mampu memenangi empat kerusi yang diwakili DAP.
PRN Melaka itu merupakan pilihan raya pertama menyaksikan BN dan PN memeterai kerjasama politik secara rasmi, selain melancarkan manifesto bersama pada 6 November lalu.
Kedua-dua gabungan itu turut meneruskan kerjasama dalam pentadbiran kerajaan negeri Melaka.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pernah menyatakan sekiranya kerjasama BN dan PN di Melaka berjaya, formula sama boleh digunakan dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Pada 22 November lalu, beliau turut menyatakan pengalaman kerjasama BN dan PN dalam PRN Johor, Negeri Sembilan dan Melaka boleh dijadikan asas perbincangan bagi menghadapi PRU ke-16 (PRU16) – MYNEWSHUB


