KUALA LUMPUR – Ahli perniagaan kontroversi, Albert Tei mempersoalkan kenyataan Datuk Seri R. Ramanan yang menyifatkan isu tunggakan kutipan hasil kerajaan berjumlah RM314 juta membabitkan Zetrix AI Bhd sebagai masalah tadbir urus korporat dan bukannya penyelewengan.
Menerusi satu rakaman video di media sosial, Albert mengkritik kenyataan Ramanan yang mempertahankan kedudukan syarikat berkenaan dengan merujuk kepada penarafan kredit AA.
Menurutnya, persoalan lebih penting adalah mengenai keberadaan wang hasil kutipan kerajaan yang masih belum diserahkan kepada pihak berkuasa, bukan penarafan kredit AA.
“Mari lihat berita ini. Pada 5 Oktober, MyEG iaitu Zetrix digantung kerana gagal memindahkan kutipan hasil RM314 juta, kata Anthony Loke, Menteri Pengangkutan. Wang itu adalah kutipan hasil kerajaan daripada rakyat,” katanya.
Albert turut merujuk laporan media pada Khamis yang memetik Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook mengesahkan bahawa Zetrix AI masih belum membuat sebarang pembayaran berhubung tunggakan berkenaan.
“Zetrix, syarikat double A itulah, belum buat bayaran tunggakan kutipan hasil kerajaan RM314 juta, kata Anthony Loke. Tadi orang itu (Ramanan) kata, double A ini syarikat hebat. Sejak 19 Mei lalu tidak buat bayaran RM314 juta. Di mana wang itu sekarang?” soalnya.
Terdahulu, Ramanan dilaporkan berkata isu membabitkan Zetrix AI adalah berkaitan tadbir urus korporat dan bukannya penyelewengan.
Beliau turut membandingkan penarafan AA syarikat berkenaan dengan beberapa syarikat besar termasuk Mah Sing, MMC dan UMW.
Pada 5 Oktober lalu, kerajaan menggantung perkhidmatan MyEG dan Zetrix AI sebagai ejen kutipan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selepas gagal menyerahkan hasil kutipan RM314 juta bagi tempoh 19 Mei hingga 30 September 2026.
Bagaimanapun, Anthony Loke memberi jaminan penggantungan itu tidak menjejaskan urusan orang ramai kerana perkhidmatan JPJ masih boleh diakses melalui saluran alternatif termasuk aplikasi MyJPJ. – MYNEWSHUB
Sumber Rakaman Video/Foto: Akaun Media Sosial Reformati Studio “Albert Tei”


