KUALA LUMPUR – Peguam yang juga bekas Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar mempersoalkan tindakan susulan kerajaan selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengeluarkan kenyataan tegas berhubung isu pencerobohan tanah pada 5 Oktober lalu.
Beliau berkata, meskipun kenyataan tegas sudah dibuat, rakyat masih menunggu tindakan konkrit daripada kerajaan bagi memastikan undang-undang dikuatkuasakan secara adil dan sama rata.
“Kenyataan tegas sudah dibuat, tetapi rakyat masih menunggu tindakan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Zainul Rijal berkata, beliau sebelum ini menulis mengenai kenyataan Perdana Menteri yang mahu mengambil tindakan tegas terhadap penceroboh tanah, namun masih terdapat persoalan berkaitan penguatkuasaan undang-undang.
Menurutnya, jika prinsip kerajaan menetapkan bahawa tiada sesiapa boleh menceroboh tanah sewenang-wenangnya, isu pencerobohan tanah bagi pembinaan rumah ibadat yang didakwa tidak mempunyai kelulusan juga perlu diberikan perhatian.
“Rakyat tidak meminta layanan istimewa kepada mana-mana kaum atau agama. Rakyat hanya menuntut keadilan, kesamarataan dan kedaulatan undang-undang. Jika pencerobohan berlaku, siasat,” katanya.
Beliau turut merujuk kenyataan Anwar pada 5 Oktober lalu yang menegaskan bahawa pencerobohan tanah tanpa kebenaran tidak boleh dipandang ringan dan penguatkuasaan perlu diperkukuh.
Sehubungan itu, Zainul Rijal mempersoalkan sama ada arahan sudah dikeluarkan dan siasatan telah dijalankan susulan kenyataan berkenaan.
“Maka, rakyat berhak bertanya: apakah tindakan susulan terhadap kenyataan itu? Adakah arahan sudah diberikan? Adakah siasatan dijalankan? Jika sudah, apakah hasilnya? Jika belum, apakah yang menghalang tindakan?
“Kenyataan tegas tidak sepatutnya berakhir sebagai sekadar kenyataan politik. Rakyat memerlukan penjelasan dan hasil yang boleh dinilai,” katanya.
Beliau menegaskan sensitiviti agama tidak boleh dijadikan alasan sehingga penguatkuasaan undang-undang dilihat tidak seragam.
Katanya, sekiranya benar berlaku pencerobohan, undang-undang mesti ditegakkan, manakala sebarang kekangan undang-undang perlu dijelaskan oleh kerajaan.
“Perdana Menteri tidak wajar membiarkan persoalan ini terus tergantung tanpa penjelasan yang meyakinkan.
“Rakyat bukan sekadar mahu mendengar apa yang kerajaan akan lakukan, tetapi mahu mengetahui apa yang kerajaan benar-benar telah lakukan.
“Persoalannya mudah: selepas kenyataan tegas pada 5 Oktober, apa tindakan konkretnya? Rakyat sedang menunggu jawapan,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info: Akaun Media Sosial Zainul Rijal Abu Bakar



