KUALA LUMPUR – Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail mengadakan pertemuan dengan Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Bahrain, Putera Salman Hamad Al Khalifa hari ini.
Baginda menyifatkan peluang bertemu Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Bahrain itu sebagai satu penghormatan dan keistimewaan yang amat besar.
Menurut Tunku Mahkota Ismail, baginda turut berkesempatan mengadakan perbincangan bersama Putera Salman mengenai hubungan antara Johor dan Bahrain.
Menerusi satu hantaran di media sosial, baginda bertitah, selain hubungan dua hala, perkara berkaitan ekonomi turut menjadi antara topik yang dibincangkan dalam pertemuan berkenaan.
“Adalah satu penghormatan dan keistimewaan yang amat besar bagi saya untuk menyampaikan penghormatan serta mengadap Putera Salman bin Hamad Al Khalifa, Putera Mahkota dan Perdana Menteri Bahrain, pada hari ini.
“Saya turut berkesempatan untuk berbincang mengenai hubungan antara Johor dan Bahrain, serta perkara-perkara berkaitan ekonomi,” titah baginda.
Tunku Mahkota Ismail turut mendoakan agar Bahrain serta Kerabat Dirajanya terus mendapat keberkatan Allah SWT.
“Semoga Allah SWT memberkati Bahrain dan Kerabat Diraja,” titah baginda.
Putera Salman kini berada di Malaysia dalam rangka lawatan khas empat hari sempena Formula 1 (F1) Gulf Air Bahrain Grand Prix di Litar Antarabangsa Sepang (SIC)
Penganjuran perlumbaan Bahrain di Malaysia itu direalisasikan dengan sokongan dan peranan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim serta Raja Bahrain, Raja Hamad Isa Al Khalifa sekali gus mencerminkan hubungan erat antara kedua-dua negara. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial HRH Crown Prince of Johor


