KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli enggan mengulas isu New Age Movement (NAM) pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
Beliau sebaliknya mengingatkan semua pihak supaya menyemak kesahihan sesuatu perkara sebelum membuat penghakiman selepas perkara itu dibangkitkan Datuk Ahmad Saad @ Yahaya (PN-Pokok Sena)
“Saya tidak akan menjawab soalan ini, tetapi saya ingin mengingatkan semua termasuk YB Pokok Sena dan semua yang berada di sini termasuk diri saya sendiri.
“Sebelum kita menghakimi ataupun mempercayai cerita-cerita di luar… apa kata kita ingat pesan surah al-Hujurat untuk kita bertabayyun untuk kita selidik dan semak.
“Semalam saya berada di Parlimen sampai malam tapi tidak ada pun usaha daripada pihak sana untuk berjumpa saya sendiri dan bertanya.
“Sangat tidak adil untuk hukum saya hanya berdasarkan cerita sebelah pihak. Jadi saya ingin mengajak ayuh kita bertabayyun, semoga perjuangan Islam kita bukan hanya sekadar lantang bersuara tetapi kita menghidupkan akhlak dalam perjuangan kita,” katanya.
Terdahulu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul memaklumkan Marhamah mempunyai pilihan untuk tidak menjawab soalan berkenaan.
“Saya nak nasihatkan Timbalan Menteri, ada pilihan. Jawab bertulis atau tak jawab pada soalan kedua kerana ia jauh menyimpang daripada soalan pertama. Namun, terpulang kepada Timbalan Menteri,” katanya.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebelum ini memaklumkan telah mengadakan sesi pertemuan dan ‘tabayyun’ bersama Marhamah susulan isu NAM yang dikaitkan dengan Timbalan Menteri tersebut. – MYNEWSHUB


