MELAKA – Seorang pemimpin Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), Yong Bazilah Abu Bakar menyeru pengundi supaya tidak memberikan undi kepada Barisan Nasional (BN) sekiranya tidak mahu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dibebaskan daripada penjara.
Seruan itu dipercayai dibuat ketika beliau menyampaikan ucapan dalam sebuah program parti di negeri ini. Rakaman video ucapan tersebut dimuat naik di platform TikTok Yong Bazilah.
“Tak nak Najib keluar penjara dan duduk di mahligai istana dia, kita jangan undi Barisan Nasional. Boleh?” katanya.
Beliau kemudian mengajak hadirin memberikan sokongan kepada Pakatan Harapan (PH).
“Kita undi siapa? Harapan. Ini merah kita ini, kita undi siapa tuan-tuan? Harapan,” katanya.
Rakaman ucapan berkenaan turut mendapat perhatian Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari yang memberikan reaksi sinis terhadap pendekatan kempen tersebut.
“Kalau ini naratif yang dibawa oleh PH di Melaka, Insya-Allah lagi cepat PH kalah,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Rakaman Video: Akaun Media Sosial Yong Bazilah/Fadhli Shaari


