KUALA LUMPUR – Pemimpin Pakatan Harapan (PH), Dr Maszlee Malik mempersoalkan sama ada tindakan mengangkat Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak sebagai ‘wira’ selari dengan nilai moral dan ajaran Islam.
Maszlee menerusi satu podcast mendakwa keadaan sedemikian menimbulkan persoalan mengenai hala tuju ‘kompas moral’ masyarakat apabila seseorang yang didakwanya tidak menunaikan tanggungjawab membayar cukai diangkat dan dijadikan contoh.
“Bila orang yang tidak membayar cukai diangkat sebagai wira, jadi moral kompas kita, saya tidak tahu ke mana,” dakwanya.
Beliau kemudian mengaitkan persoalan tersebut dengan pegangan agama termasuk meminta umat Islam menilai sesuatu tindakan berdasarkan ajaran Nabi Muhammad SAW.
“Dan kita tanya, apakah ini yang Rasulullah akan suka?,” katanya.
Beliau merujuk kisah mengenai ketegasan Rasulullah SAW dalam soal keadilan dan pelaksanaan hukum tanpa mengira kedudukan seseorang.
“Apabila kita sekarang ini berpihak kepada orang yang melakukan salah guna kuasa, sakau, apakah Nabi akan suka kalau kita menyokong seperti ini?” soalnya.
Bekas Menteri Pendidikan itu turut mendakwa konon wujud reaksi balas dalam kalangan Gen Z yang marah terhadap kutipan dana untuk membantu Najib menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah.
Katanya, sebahagian daripada golongan itu mungkin sebelum ini terpengaruh dengan propaganda pihak yang anti Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, namun kini mula mempersoalkan perkara tersebut.
“Aku nak pergi sekolah pun tak cukup duit. Aku nak bayar yuran universiti tak cukup duit. Alih-alih dia pergi bayar untuk orang yang tak bayar cukai. Sepatutnya aku boleh belajar percuma.
“Kenapa Gen Z mengamuk di Indonesia sebab lihat dikala rakyat kelaparan, tiba-tiba mereka punya pemimpin-pemimpin elit kaya raya berbilion-bilion duit menghabiskan duit rakyat.
“Di Nepal contohnya kan? Kenapa Gen Z bangkit tengok kehidupan pemimpin yang bermewah bukan-bukan.. Tetapi rakyat ‘struggle’ dengan isu kenaikan tarif elektrik.
“Dengan payah nak cari pekerjaan, kesukaran mendapat pekerjaan yang setimpal dengan keputusan (akademik) dan sebagainya. Jadi, ya lah kalau Gen Z marah sangat dengan isu ini saya boleh faham lah,” dakwanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Rakaman Video Podcast: Akaun Media Sosial Dr Maszlee Malik


