NEW YORK – Pembunuh legenda muzik The Beatles, John Lennon, iaitu Mark David Chapman, dijadualkan menjalani pendengaran pembebasan bersyarat sekali lagi pada Februari 2027 selepas 14 permohonannya sebelum ini ditolak.
Chapman, 71, yang kini menjalani hukuman penjara 20 tahun hingga seumur hidup, telah dipenjarakan hampir 46 tahun sejak membunuh Lennon pada 8 Disember 1980.
Menurut laporan Associated Press (AP), permohonan pembebasan bersyarat Chapman yang ke-14 ditolak selepas pendengaran diadakan pada 27 Ogos 2025.
Susulan keputusan itu, pendengaran seterusnya dijadualkan pada Februari tahun depan bagi menentukan sama ada Chapman layak dibebaskan.
Chapman berusia 25 tahun ketika menembak Lennon, 40, di luar bangunan kediaman penyanyi tersebut, The Dakota, di New York.
Beberapa jam sebelum pembunuhan itu, Lennon sempat menandatangani autograf pada album Double Fantasy milik Chapman.
Chapman kemudian menunggu kepulangan Lennon bersama isterinya, Yoko Ono, sebelum melepaskan tembakan yang meragut nyawa penyanyi terkenal itu.
Dia mengaku salah atas pembunuhan berkenaan pada 1981 dan dijatuhi hukuman penjara 20 tahun hingga seumur hidup.
Dalam pendengaran pembebasan bersyarat sebelum ini, Chapman mengakui tindakannya membunuh Lennon didorong keinginan untuk mendapatkan kemasyhuran.
Bagaimanapun, pendengaran yang dijadualkan pada Februari 2027 tidak bermakna Chapman akan dibebaskan kerana keputusan tersebut tertakluk kepada penilaian lembaga pembebasan bersyarat.
Pembunuhan Lennon ketika kumpulan The Beatles sudah sedekad berpecah mengejutkan dunia muzik dan terus dikenang sebagai antara tragedi paling besar dalam sejarah industri hiburan. – MYNEWSHUB


