SEREMBAN – Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan bertekad merampas semula kerusi Parlimen Tampin pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), selain mempertahankan tiga kerusi Parlimen yang kini dikuasai gabungan itu.
Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kepemimpinan gabungan berkenaan perlu bekerja lebih keras bagi memastikan sebanyak mungkin kerusi Parlimen dapat dimenangi pada pilihan raya akan datang.
Menurutnya, selain mempertahankan Parlimen Port Dickson, Seremban dan Rasah, PH juga perlu memberi tumpuan khusus kepada Tampin yang pernah dimenangi gabungan itu sebelum ini.
“PRU16 mungkin Oktober atau November tahun hadapan. Kita kena pastikan kerusi Tampin yang pernah dimenangi dapat dirampas kembali.
“Ini maruah kita. Kita tak boleh bagi kemenangan percuma kepada mereka. Dulu kita pernah cuba dan berjaya, jadi kenapa tidak hari ini,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Tahunan Ke-24 DAP Negeri Sembilan, hari ini.
Ahli Parlimen Tampin ketika ini ialah Datuk Mohd Isam Mohd Isa daripada Barisan Nasional (BN)
Aminuddin yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan berkata, prestasi pentadbiran kerajaan negeri sepanjang lapan tahun lalu membuktikan banyak perkara telah dilaksanakan demi kepentingan rakyat.
Bagaimanapun, beliau mengakui isu membabitkan DAP turut memberi kesan kepada keputusan pilihan raya sebelum ini.
“Rakyat melihat selama lapan tahun kita buat banyak perkara, prestasi kita baik… tetapi dengan isu DAP kita kalah,” katanya.
Menurut Aminuddin, penduduk Negeri Sembilan mampu menilai sendiri perkembangan politik semasa, termasuk membezakan pemimpin yang benar-benar bekerja dengan mereka yang gagal melaksanakan tanggungjawab.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan seluruh kepemimpinan dan jentera PH supaya tidak terus kecewa dengan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu, sebaliknya memperkukuh gerak kerja menghadapi pilihan raya akan datang.
“Inilah perlu kita lakukan, jangan sesekali gundah-gulana, kecewa keputusan Pilihan Raya Negeri lalu. Apa perlu kita lakukan ialah terus bekerja dan memberi khidmat kepada rakyat, pastikan rakyat mendapat manfaat,” katanya. – MYNEWSHUB


