KUALA LUMPUR – Raja-Raja Melayu menyeru semua pihak yang terlibat dalam pertikaian takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan agar mengutamakan kebijaksanaan, kesabaran dan penghormatan terhadap adab, adat serta maruah institusi diraja.
Menerusi satu kenyataan media, Raja-Raja Melayu bertitah, sebarang perbezaan pendirian hendaklah diselesaikan melalui saluran yang sah, berautoriti dan berwibawa, secara beradab dan beradat dalam semangat syura dan musyawarah.
Raja-Raja Melayu bertitah, perkara itu hendaklah diselesaikan berlandaskan undang-undang dan berpandukan peruntukan-peruntukan yang terkandung dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
“Ruang perundingan perlu dimanfaatkan dengan penuh keikhlasan demi mencapai penyelesaian yang bermaruah tanpa merendah dan menghina mana-mana pihak. Takhta suatu amanah yang membawa tanggungjawab besar terhadap negeri dan rakyat.
“Oleh itu, semangat kekeluargaan, keharmonian masyarakat serta memuliakan institusi diraja hendaklah sentiasa dipelihara sepanjang usaha mencari penyelesaian. Semua pihak hendaklah mengelak menyuarakan kenyataan yang boleh mengaibkan atau tindakan yang boleh mengeruhkan keadaan,” kata kenyataan itu hari ini.
Menurut kenyataan itu, Raja-Raja Melayu menyeru pihak-pihak luar tidak mencampuri atau mempolitikkan krisis institusi takhta Yang di-Pertuan Besar yang sedang dihadapi oleh negeri dan rakyat di Negeri Sembilan.
Raja-Raja Melayu bertitah, usaha penyelesaian hendaklah diserahkan kepada pihak yang berkepentingan dan berautoriti untuk diselesaikan melalui saluran yang sah, tertib dan berwibawa.
“Isu yang sedang dihadapi, jangan sama sekali dijadikan bahan politik, modal untuk meraih sokongan atau ruang untuk meningkatkan pengaruh atau medan untuk memenuhi agenda perebutan kuasa.
“Kenyataan-kenyataan yang bercanggah dan kurang bertanggungjawab hanya akan mengeruhkan keadaan, meningkatkan ketegangan, mengelirukan rakyat dan mencemarkan kemuliaan institusi diraja,” kata kenyataan itu.
Raja-Raja Melayu bertitah, sebarang kenyataan atau tindakan yang dibuat tanpa memahami adat, sejarah dan kerangka perlembagaan negeri boleh mengeruhkan keadaan serta menjejaskan keharmonian masyarakat.
Raja-Raja Melayu turut menyeru orang ramai tidak menyebarkan khabar yang belum disahkan serta tidak terpengaruh dengan naratif yang boleh memecahbelahkan masyarakat.
Raja-Raja Melayu meminta supaya memberikan ruang dan masa kepada pihak berautoriti untuk memenuhi tanggungjawab dan amanah mereka dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan.
“Semoga Allah SWT, melimpahi semua pihak yang berkaitan dengan kebijaksanaan mengatasi emosi dan muafakat mengatasi perselisihan. Kepentingan negeri serta kesejahteraan rakyat hendaklah menjadi keutamaan semua pihak.
“Kepentingan Negeri Sembilan, keharmonian rakyat dan kemuliaan institusi diraja hendaklah didahulukan. Dalam keadaan seperti ini, sikap terbaik ialah memelihara adab, menghormati adat, menjaga tutur kata dan tidak mencampuri urusan yang bukan bidang kita,” titah Raja-Raja Melayu. – MYNEWSHUB




