KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menolak pandangan seorang Ketua Bahagian UMNO yang menyifatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai “the sore loser” atau individu yang tidak boleh menerima kekalahan.
Beliau mendakwa pandangan itu kurang tepat kerana Anwar tidak mengambil tindakan keras terhadap Barisan Nasional (BN) atau pemimpin UMNO meskipun Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengalami kekalahan dalam beberapa pilihan raya negeri.
“Saya masih tertarik untuk berhujah mengenai dakwaan seorang Ketua Bahagian UMNO. ‘You should advice PMX, behave like stateman not like a sore loser’. Kalau ikut terjemahan mudah, ‘the sore loser’ bermaksud tidak boleh menerima kekalahan atau marah apabila kalah.
“Pada saya dakwaan itu kurang tepat. PKR kalah teruk di Sabah dan di Johor. Di Negeri Sembilan bekas MB daripada PKR turut kalah,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Mohd Puad mempersoalkan apakah tindakan balas keras yang dilakukan Anwar berbanding pendekatan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap UMNO sebelum ini.
Katanya, BN masih kekal dalam Kerajaan Perpaduan, malah tiada menteri BN atau ahli politik UMNO kehilangan jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sebagai tindak balas terhadap kekalahan di Negeri Sembilan.
Beliau turut mengingatkan bahawa kemenangan besar boleh membawa musibah apabila pemimpin menjadi sombong dan enggan bertolak ansur sehingga akhirnya rakyat turut menerima kesan.
Mohd Puad kemudian merujuk petikan khutbah Jumaat pada 16 Oktober yang dikongsikan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim mengenai kepentingan menjauhi sifat sombong, kebencian dan kezaliman.
Beliau mempersoalkan sama ada pesanan itu sebenarnya umpama peribahasa “menepuk air di dulang, terpercik ke muka sendiri” – MYNEWSHUB
Sumber Info: Akaun Media Sosial DrPuad Zarkarshi


