KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan memperluaskan pelaksanaan projek rintis Sistem Optical Character Recognition – Voter Attendance (OCR-VA) ke semua saluran di setiap pusat mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, pelaksanaan sistem itu akan melibatkan kesemua 28 Bahagian Pilihan Raya Negeri Melaka.
Menurutnya, OCR-VA digunakan bagi merekod dan menandakan kehadiran pengundi secara automatik menerusi pengimbasan maklumat pada dokumen pengenalan diri.
Kaedah itu sekali gus dijangka mempercepatkan proses semakan dan rekod kehadiran pengundi selain mengurangkan kesilapan penandaan secara manual.
“[Ia] meningkatkan kecekapan petugas dan proses pada hari mengundi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, SPR menegaskan penggunaan OCR-VA tidak mengubah tatacara pengundian sedia ada, sebaliknya merupakan sebahagian daripada usaha pendigitalan proses pilihan raya.
Pengundi masih perlu hadir ke pusat pengundian seperti biasa dan mengemukakan dokumen pengenalan diri kepada petugas untuk tujuan semakan sebelum meneruskan proses pengundian mengikut prosedur sedia ada.
Dalam pada itu, SPR akan meneruskan penyiaran secara langsung proses pilihan raya menerusi live streaming bagi pusat atau saluran mengundi terpilih di Facebook rasmi SPR.
Siaran itu turut merangkumi keputusan tidak rasmi selepas waktu mengundi tamat, sebagaimana dilaksanakan dalam pilihan raya sebelum ini.
SPR juga akan melaksanakan kempen ‘Jom Kita Undi’ menerusi media elektronik, media sosial, hebahan siar raya serta pemasangan kain rentang di lokasi strategik bagi menggalakkan pengundi keluar menunaikan tanggungjawab pada hari mengundi. – MYNEWSHUB


