KUALA LUMPUR – Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE) mendakwa gaji minimum pekerja bank kategori FSE1 masih RM2,370 sedangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan penanda aras gaji sara hidup GLC dan GLIC adalah RM3,100.
Kesatuan itu berkata, gaji minimum berkenaan yang ditetapkan menerusi Perjanjian Kolektif Ke-19 (CA19) itu adalah RM730 lebih rendah berbanding penanda aras gaji sara hidup semasa.
“Jika bank-bank berkaitan kerajaan sendiri gagal menunjukkan teladan dalam soal gaji yang adil, apakah mesej yang ingin disampaikan kepada majikan lain di seluruh Malaysia?” soal NUBE menerusi hantaran di media sosial.
Kesatuan itu berkata, lebih mengecewakan Perjanjian Kolektif Ke-20 (CA20) yang melibatkan terma pekerjaan bermula 1 Januari 2024 masih belum dimuktamadkan walaupun hampir tiga tahun berlalu.
NUBE menjelaskan, tuntutan kenaikan gaji menyeluruh sebanyak 31 peratus akan meningkatkan gaji minimum FSE1 kepada RM3,104.70, sekali gus melepasi sedikit penanda aras ditetapkan Perdana Menteri.
Bagaimanapun, kesatuan itu mendakwa Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) dan Persatuan Bank-Bank Perdagangan Malaysia (MCBA) lebih memilih pertarungan di mahkamah berbanding menggalakkan rundingan secara baik.
NUBE turut mempersoalkan tindakan Kesuma selepas Pejabat Perdana Menteri pada 6 Oktober lalu meminta kementerian itu menjadi perantara bagi membantu menyelesaikan pertikaian antara NUBE dan MCBA.
Menurutnya, lebih dua minggu berlalu tetapi kesatuan masih menunggu maklum balas bermakna berhubung usaha mempertemukan kedua-dua pihak.
“NUBE bersedia untuk berunding. MCBA dan bank-bank mesti kembali ke meja rundingan!” tegasnya.
Kesatuan itu menegaskan pekerja bank tidak meminta layanan istimewa, sebaliknya hanya menuntut gaji adil, rundingan kolektif bermakna serta penghormatan terhadap hak mereka. – MYNEWSHUB
Sumber Info: Akaun Media Sosial NUBE Malaysia



