KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru golongan muda supaya bangkit menolak budaya rasuah dan penyelewengan serta bersama-sama menghapuskan golongan yang disifatkannya sebagai ‘penyakau’ daripada negara ini.
Berucap pada Majlis Perasmian Forum Ekonomi Belia, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) menegaskan Malaysia bukan sebuah negara miskin, sebaliknya memiliki kekayaan dan sumber yang mencukupi untuk membangunkan negara serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Menurut beliau, negara bagaimanapun boleh kehilangan puluhan bilion ringgit akibat amalan penyelewengan dan ketirisan yang dikaitkannya dengan ‘penyakit penyakau’.
“Saya tegaskan, negeri ini bukan miskin. Negeri ini, Alhamdulillah, punyai tanah kekayaan. Kalau hilang pun puluh-puluh bilion ini, kerana amalan penyakit penyakau itu.
“Dan anak-anak mesti bangkit, tolak, tolak, tolak, tolak! Jangan tolak ansur!. Jangan jahannamkan negara ini. Kita hapuskan penyakau daripada negara kita!,” katanya sambil mendapat tepukan gemuruh para belia yang menghadiri majlis tersebut.
Anwar berkata, beliau sedar mungkin ada pihak yang akan mempertikaikan tindakannya menyentuh perkara sedemikian ketika berucap di hadapan golongan muda dengan mendakwa beliau menggunakan pentas berkenaan untuk bercakap mengenai politik.
Namun, beliau menolak tanggapan bahawa golongan muda tidak mampu memahami persoalan berkaitan tatakelola, rasuah dan penyelewengan yang berlaku dalam negara.
“Ada orang kata, nanti ada dalam sosial media itu, Anwar PMX ni guna ruang cakap dengan anak-anak (hal) politik. Kamu ingat anak-anak ni bodoh ke? Ni anak-anak ni cerdik, the best of the best. Boleh fikir. Ya, mungkin dia tak lantang suaranya, tapi dia tahu,” katanya.
Anwar turut mempersoalkan nilai yang mahu diterapkan kepada generasi muda sekiranya kesalahan kecil seperti mencuri di sekolah dihukum, tetapi penyelewengan melibatkan wang berjumlah berbilion ringgit seolah-olah boleh diterima apabila dilakukan oleh seseorang yang sudah menjadi pemimpin.
“Di sekolah, curi pensel tu cikgu marah. Curi pensel atau pen, sekarang ni laptop, biar apa-apa pun, dah kena marah. Anda besar jadi pemimpin, curi bilion ringgit. Okeylah. Ini belajar apa? Ilmu apa? Adab apa? Akhlak apa yang dibelajar?” katanya. – MYNEWSHUB


