KUALA LUMPUR – Pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR), Muhamad Taufiq Iskandar menafikan pernah menggunakan gelaran “Datuk” di platform media sosial rasmi atau memperkenalkan diri dengan gelaran itu dalam mana-mana ucapan.
Beliau membuat penjelasan susulan hantaran dan dakwaan tular di media sosial yang mempersoalkan status gelaran berkenaan.
Menurutnya, sekiranya terdapat pihak yang memanggilnya “Datuk” dalam interaksi harian, perkara itu di luar kawalannya dan tidak bermakna beliau mengaku memiliki gelaran tersebut secara rasmi.
Taufiq berkata, gambar tular yang memaparkan gelaran itu merupakan satu-satunya paparan sedemikian dan berlaku ketika beliau menjalankan urusan perniagaan.
Katanya, penggunaan gelaran tersebut berpunca daripada salah faham komunikasi serta kesilapan teknikal pihak urus setia penganjur sebuah majlis korporat lama ketika menyediakan bahan publisiti tanpa semakan silang dengannya.
“Ia bukan bukti bahawa saya pernah mendakwa atau memperkenalkan diri sebagai pemegang gelaran tersebut,” katanya dalam kenyataan media.
Beliau turut mencabar mana-mana pihak yang mendakwa beliau pernah menipu atau menjalankan transaksi menggunakan gelaran berkenaan supaya mengemukakan bukti melalui saluran sewajarnya.
Taufiq menegaskan beliau bersedia memberikan kerjasama dan mengambil tindakan yang perlu sekiranya bukti dikemukakan.
“Saya tidak pernah meraih sebarang keuntungan peribadi mahupun menyalahgunakan apa-apa gelaran sepanjang penglibatan saya dalam dunia korporat atau aktiviti kemasyarakatan,” katanya.
Beliau berkata, akan terus memperjuangkan isu nasional, menyuarakan isu rakyat serta membawa suara Kerajaan Madani dan PKR. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Taufiq Iskandar


