KULIM – Seorang pelajar lelaki tingkatan satu ditemui terbaring parah berhampiran tangga di sebuah sekolah di sini kira-kira pukul 3.30 petang, Ahad lalu.
Memetik laporan media, Ketua Polis Daerah Kulim Superintenden Syamsul Sinring berkata, pelajar tersebut ditemukan terbaring di aras bawah berhampiran tangga Blok E sekolah.
“Kejadian disedari seorang guru yang memaklumkan guru penolong kanan sesi petang sebelum menghubungi polis,” katanya dalam satu kenyataan.
Syamsul dipetik berkata, guru itu memaklumkan pelajar itu masih sedarkan diri dan boleh bercakap semasa ditemui sebelum dihantar ke Hospital Kulim.
Kata beliau, rakaman percakapan beberapa individu lain termasuk saksi dilakukan bagi mendapatkan maklumat sebenar berhubung kejadian.
Jelasnya, hasil temu bual pegawai penyiasat mendapati mangsa mengaku mengalami tekanan susulan peperiksaan akan berlangsung minggu hadapan.
“Rakaman percakapan selanjutnya akan dilakukan apabila keadaan kesihatan mangsa mengizinkan bagi memperincikan kejadian,” katanya. – MYNEWSHUB


