KUALA LUMPUR – Setiap kejadian keganasan membabitkan pelajar tidak boleh lagi dianggap sebagai kes terpencil sebelum disusuli kenyataan simpati dan kemudian dilupakan sehingga tragedi seterusnya berlaku.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, kerajaan dan masyarakat perlu mengambil tindakan segera kerana nyawa serta keselamatan anak-anak bukan bahan eksperimen dasar atau isu untuk dijadikan modal politik.
“Kita tidak boleh lagi melihat setiap kejadian sebagai kes terpencil, mengeluarkan kenyataan simpati, kemudian menunggu sehingga berlaku kejadian seterusnya.
“Nyawa anak-anak bukan bahan eksperimen dasar dan bukan juga isu untuk dijadikan modal politik,” katanya menerusi hantaran di media sosial hari ini.
Menurut Muhamad Akmal, sekolah sepatutnya menjadi tempat paling selamat selepas rumah, namun kejadian keganasan serius membabitkan pelajar menyebabkan ibu bapa mula tertanya-tanya sama ada anak mereka benar-benar selamat apabila dihantar ke sekolah.
Beliau berkata, tanggungjawab menangani isu itu juga tidak boleh diletakkan sepenuhnya kepada kerajaan, menteri atau pihak sekolah, sebaliknya ibu bapa dan masyarakat perlu memainkan peranan masing-masing, termasuk dalam menangani masalah disiplin anak-anak.
Katanya, isu keselamatan pelajar bukan perkara politik yang hanya perlu diperdebatkan antara kerajaan dan pembangkang kerana semua pihak mempunyai tanggungjawab bersama untuk memastikan sekolah kekal selamat.
Muhamad Akmal turut menggesa orang ramai supaya berani melaporkan sebarang tanda ancaman, buli, ugutan atau perubahan tingkah laku yang membimbangkan dan tidak menunggu sehingga tragedi berlaku sebelum mencari pihak untuk dipersalahkan.
“Isunya ialah adakah kita mahu bertindak sebelum berlaku kematian seterusnya, atau hanya bertindak selepas semuanya terlambat?
“Jangan tunggu ada lagi ibu bapa kehilangan anak baru kita mahu berubah. Sekolah mesti menjadi tempat untuk membina masa depan, bukan tempat nyawa dan keselamatan anak-anak dipertaruhkan,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Akmal Saleh


