KUALA LUMPUR – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyempurnakan Istiadat Pengurniaan Darjah Kepahlawanan Angkatan Tentera (DKAT) Sesi Kedua Tahun 2026 membabitkan 465 penerima di Dewan Perkasa, Wisma Perwira ATM, di sini, hari ini.
Istiadat bersempena Sambutan Hari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Ke-93 itu diadakan sebagai penghargaan terhadap jasa, khidmat bakti dan pengorbanan warga ATM dalam mempertahankan kedaulatan serta keselamatan negara.
Majlis dimulakan dengan pengurniaan Darjah Panglima Setia Angkatan Tentera (PSAT) kepada Panglima 5 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Shamshor Jaafar.
Pengurniaan diteruskan kepada 50 penerima Darjah Pahlawan Angkatan Tentera (PAT), 196 penerima Darjah Kesatria Angkatan Tentera (KAT) dan 218 penerima Darjah Bentara Angkatan Tentera (BAT).
Istiadat turut menyaksikan pengurniaan BAT kepada Allahyarham Pegawai Waran I Mohd Hazrin Md Nor, bekas Sarjan Mejar Rejimen, 2 Rejimen Artileri Diraja yang meninggal dunia pada 20 Julai lalu.
Darjah kebesaran itu diterima oleh balunya, Azlina Rosli bagi pihak Allahyarham sebagai penghargaan terhadap jasa dan khidmat bakti beliau sepanjang berkhidmat dalam ATM.
Pengurniaan DKAT merupakan pengiktirafan negara terhadap kesetiaan, dedikasi dan profesionalisme warga ATM dalam melaksanakan amanah mempertahankan negara.
Penghormatan berkenaan diharap terus menyemarakkan semangat pengabdian serta memperkukuh iltizam warga ATM untuk mengekalkan kecemerlangan perkhidmatan dan kesiagaan pertahanan negara.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman serta barisan kepimpinan tertinggi ATM. – MYNEWSHUB


