KUALA LUMPUR – Malaysia bakal menerima bantuan sistem pertahanan anti-dron bernilai kira-kira RM40 juta daripada Jepun menerusi program Bantuan Keselamatan Rasmi (OSA) bagi tahun 2026.
Menteri Pertahanan berkata, bantuan itu melibatkan sistem Counter-Unmanned Aircraft System (C-UAS) bernilai 1.650 bilion yen, susulan pemeteraian perjanjian bersama Menteri Luar Jepun sempena lawatan kerjanya ke negara itu pada 18 hingga 21 Oktober.
Menurutnya, Malaysia turut menerima aset pertahanan bernilai kira-kira RM80 juta menerusi program sama tahun lalu.
Beliau berkata, bantuan Jepun penting bagi meningkatkan keupayaan pertahanan negara, khususnya menghadapi cabaran keselamatan di Laut China Selatan dan Selat Melaka.
“Jepun antara negara yang diyakini berdasarkan pengalaman yang telah kita lalui, terutamanya dalam soal menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan negara,” katanya pada sidang media di Jepun.
Dalam pertemuan itu, Malaysia turut meminta bantuan Jepun memberi tumpuan kepada peningkatan keupayaan maritim, termasuk aspek Maritime Domain Awareness atau kesedaran domain maritim.
Sementara itu, pertemuan dengan Menteri Pertahanan Jepun turut menghasilkan persetujuan memperluas latihan ketenteraan bersama serta mengadakan mesyuarat tahunan peringkat menteri secara bergilir.
Kedua-dua negara juga bersetuju mengadakan memorandum persefahaman (MoU) kerjasama maritim bagi memperkukuh keupayaan Malaysia menjaga perairan negara.
Selain itu, Malaysia dan Jepun bersetuju melaksanakan perolehan aset ketenteraan melalui kaedah kerajaan dengan kerajaan (G2G).
Menurutnya, pendekatan tersebut bertujuan memastikan setiap perolehan disertai pemindahan teknologi serta pembangunan industri pertahanan tempatan.
Jepun juga menyatakan kesediaan bekerjasama dalam usaha membangunkan keupayaan Malaysia menghasilkan sendiri aset atau komponen ketenteraan.
Beliau berharap kerjasama itu dapat memperkukuh keupayaan pertahanan berdaulat negara serta meningkatkan keselamatan dan kestabilan serantau. – MYNEWSHUB


