KUALA LUMPUR – Kerajaan sendiri ‘membakulsampahkan’ salah satu syor agar diwujudkan peruntukan untuk melarang pelantikan ahli-ahli politik yang aktif sebagai Pengerusi atau anggota Lembaga Pengarah anak-anak syarikat.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Ahmad Fadhli Shaari berkata, walaupun peruntukan itu belum wujud, tetapi syor daripada Suruhanjaya Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) itu jelas dan terang agar dikuatkuasakan halangan pelantikan ahli-ahli politik yang aktif.
“Namun, kerajaan sendiri melanggar syor ini. Pada September 2024 kerajaan telah melantik Datuk Husam Musa sebagai Pengerusi TH Properties Sdn Bhd. Husam merupakan bekas Naib Presiden Parti Amanah dan dalam pilihan raya umum lepas menjadi calon PKR di Parlimen Pasir Mas.
“Setiausaha Organisasi Parti Amanah Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus pula dilantik menjadi Ahli Lembaga Pengarah TH Travel & Services Sdn Bhd. (Dan terbaru beliau dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan atau FAMA),” katanya dalam satu hantaran di media sosial. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Fadhli Shaari



