TOKYO – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memulakan lawatan kerja selama empat hari ke Jepun bermula hari ini hingga 21 Oktober bagi memperkukuh hubungan dan kerjasama pertahanan antara kedua-dua negara.
Beliau yang selamat tiba di Lapangan Terbang Haneda berkata, lawatan kerja pertamanya ke Jepun itu antara lain melibatkan mesyuarat dua hala bersama Menteri Pertahanan Jepun, Shinjiro Koizumi.
Menurutnya, beliau turut dijadual mengadakan mesyuarat bersama Menteri Luar Jepun, Toshimitsu Motegi, selain menghadiri majlis menandatangani dokumen bantuan geran di bawah program Official Security Assistance (OSA) Kerajaan Jepun.
“Lawatan ini turut melibatkan pertemuan bersama Acquisition, Technology & Logistics Agency (ATLA) serta lawatan ke syarikat pertahanan Jepun, Toshiba,” katanya menerusi hantaran media sosial.
Mohamed Khaled berkata, berlandaskan Perkongsian Strategik Komprehensif Malaysia-Jepun, lawatan berkenaan diharap dapat memperkukuh hubungan pertahanan serta memperluas kerjasama dalam bidang berkepentingan bersama.
Beliau turut berharap usaha itu membawa manfaat nyata kepada pertahanan negara, selain meningkatkan persefahaman kedua-dua negara dalam menghadapi cabaran keselamatan serantau.
Ketibaan beliau di Tokyo disambut Duta Besar Malaysia ke Jepun, Datuk Ahmad Rozian Abd Ghani dan Atase Pertahanan Malaysia di Tokyo, Kepten Mohamad Fazri Ibrahim TLDM.
Turut menyertai lawatan itu ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertahanan, Datuk Mohd Yani Daud dan Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Leftenan Jeneral Datuk Seri Muhammad Huzaimi Sabri. – MYNEWSHUB


