KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh mencadangkan lima langkah diberi perhatian segera bagi memperkukuh aspek disiplin dan keselamatan di sekolah, termasuk mengembalikan autoriti disiplin kepada guru.
Menerusi hantaran di media sosial, beliau berkata antara cadangan itu adalah membenarkan semula hukuman merotan secara terkawal, mengikut prosedur, berasas dan tidak keterlaluan.
Menurutnya, guru tidak seharusnya berada dalam keadaan takut untuk mengambil tindakan disiplin terhadap pelajar kerana sekolah perlu mempunyai kuasa mencukupi untuk membentuk disiplin.
Muhamad Akmal turut mencadangkan diwujudkan Akta Perlindungan Guru dan Murid bagi memberikan perlindungan sewajarnya kepada guru yang bertindak mengikut prosedur, pada masa sama memastikan murid dilindungi daripada tindakan melampaui batas.
Selain itu, beliau mahu pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) dilaksanakan secara menyeluruh di lokasi strategik dan berisiko termasuk koridor, tangga, pintu masuk serta kawasan tersorok di sekolah.
“Jangan hanya mencari rakaman selepas tragedi berlaku. Gunakan teknologi untuk mencegah tragedi sebelum ia berlaku,” katanya.
Beliau turut mencadangkan pemantauan lebih ketat terhadap kandungan yang mengagungkan budaya samseng, pergaduhan, buli dan keganasan dalam kalangan pelajar kerana dikhuatiri menjadikan perbuatan sedemikian kelihatan normal atau boleh ditiru.
Pada masa sama, Muhamad Akmal mahu sistem pengesanan awal pelajar berisiko diperkukuh dengan guru disiplin, kaunselor dan pentadbir sekolah mempunyai mekanisme jelas bagi mengesan ancaman, pergaduhan, buli, ugutan atau perubahan tingkah laku yang membimbangkan.
Beliau berkata ibu bapa juga perlu lebih peka terhadap perubahan emosi dan tingkah laku anak-anak serta tidak menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab mendidik dan mengawasi mereka kepada pihak sekolah.
Menurut Muhamad Akmal, langkah berkenaan antara perkara yang pernah dibincangkan dalam program RIMBUN 1.0 pada awal tahun ini dan kini perlu diberikan perhatian segera. – MYNEWSHUB
Sumber Info: Akaun Media Sosial Akmal Saleh


