SEREMBAN – Pihak media hari ini melaporkan keadaan di Balai Undang Luak Rembau pagi tadi kecoh apabila berlaku percubaan menghalang petugas yang menyokong Datuk Abdul Rahim Yasin sebagai Undang Luak Rembau ke-22 daripada memasuki premis berkenaan.
Memetik laporan media, insiden kecoh yang berlarutan hampir dua jam bermula kira-kira pukul 9.45 pagi itu membabitkan pihak Datuk Hassan Ab Hamid yang baru dizahirkan sebagai Undang Luak Rembau ke-22 pada Jun lalu.
Bagaimanapun, ketegangan akhirnya reda selepas kedua-dua pihak dilaporkan bersetuju supaya pertikaian berkenaan diselesaikan menerusi saluran mahkamah.
Peguam yang mewakili Abdul Rahim, Emirul Sarifudin Nor Azmi dilaporkan mendakwa tindakan menghalang kemasukan petugas berkenaan adalah tidak sah di sisi undang-undang.
Menurutnya, sebarang tindakan berkaitan premis itu perlu berlandaskan undang-undang serta prinsip Raja Berperlembagaan.
Beliau turut menjelaskan bahawa arahan mahkamah dalam prosiding pengosongan premis sebelum ini menetapkan supaya kes berkenaan difailkan semula atas nama Pengarah Tanah dan Galian (PTG)
Emirul juga berpandangan pihak polis tidak boleh melaksanakan tindakan secara paksa tanpa perintah mahkamah yang sah.
Selain itu, beliau mendakwa PTG perlu mendapatkan kebenaran Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) atau Menteri Besar sebelum memulakan sebarang tindakan berkaitan pentadbiran tanah rizab. – MYNEWSHUB


