JOHOR BAHRU – Ketua Pegawai Eksekutif Johor Darul Ta’zim (JDT), Luis Garcia menyifatkan Harimau Selatan sebagai sebuah kelab bola sepak yang beroperasi dengan mentaliti dan budaya profesional setanding kelab-kelab terkemuka Eropah meskipun berpangkalan di Malaysia.
“Kami seperti sebuah kelab Eropah yang berpangkalan di Malaysia, dengan mentaliti yang sama sepenuhnya,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama tabloid Britain, Daily Mail.
Temu bual berkenaan diterbitkan susulan kejayaan luar biasa JDT mencatat rekod dunia dengan mengharungi 113 perlawanan domestik tanpa kalah, sekali gus mengukuhkan kedudukan kelab itu sebagai antara kuasa utama bola sepak Asia Tenggara.
Garcia berkata, pencapaian tersebut tidak berlaku secara kebetulan, sebaliknya hasil perancangan jangka panjang, komitmen serta visi Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail yang menjadi penggerak utama transformasi JDT sejak 2012.
Mengimbas pertemuan pertamanya dengan baginda, Garcia mengakui beliau kagum dengan kesungguhan dan hala tuju yang digariskan untuk menjadikan JDT sebuah kelab berprestij di peringkat antarabangsa.
“Melalui peluang tersebut, saya memahami visi baginda, usaha yang digerakkan serta perjalanan yang telah dilalui sejak tahun 2012, termasuk apa yang ingin dicapai baginda bersama JDT.
“Jumlah usaha, komitmen dan keazaman untuk menjadikan JDT kelab terbesar di Asia Tenggara sememangnya luar biasa,” katanya.
Menurut laporan Daily Mail, dominasi JDT turut dibuktikan menerusi kejayaan menjuarai liga domestik selama 12 musim berturut-turut selain mara ke suku akhir Liga Juara-Juara AFC Elit pada musim lalu.
Lebih mengagumkan, Harimau Selatan berjaya meledak 117 gol dalam 24 perlawanan liga, hanya melepaskan 10 gol dan mencatat kemenangan dalam semua perlawanan kecuali satu yang berakhir dengan keputusan seri.
Garcia menjelaskan, kejayaan JDT bukan sekadar bergantung kepada kemampuan mendapatkan pemain berkualiti, tetapi turut ditunjangi sistem pembangunan akar umbi yang tersusun.
Katanya, akademi JDT yang dikendalikan barisan jurulatih terlatih dari Sepanyol memainkan peranan penting dalam memastikan kelab terus melahirkan bakat muda berkualiti bagi menjamin kesinambungan kejayaan pada masa hadapan.
“Kami sentiasa berusaha membuat perancangan lebih awal. Kami mahu pasukan-pasukan muda kami berjaya dan memenangi trofi,” jelasnya.
Dalam pada itu, JDT turut memperkukuh jenamanya di pentas antarabangsa melalui kerjasama komersial bersama syarikat terkenal dunia termasuk Nike, Hublot dan Toyota.
Kelab berkenaan juga merancang memperkenalkan platform JDT+ bagi membolehkan penyokong dari seluruh dunia menikmati kandungan eksklusif di sebalik tabir, selain membuka peluang kepada penerbitan dokumentari mengenai perjalanan dan perkembangan Harimau Selatan.
Perkembangan itu memperlihatkan aspirasi JDT untuk bukan sahaja mendominasi saingan domestik, malah membina identiti sebagai sebuah kelab bertaraf antarabangsa yang mampu bersaing dari segi pengurusan, pembangunan pemain dan nilai komersial. – MYNEWSHUB
Sumber Info: Akaun Media Sosial Johor Southern Tigers


