JOHOR BAHRU – Skuad Akademi Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) IV terus membuktikan kehebatan mereka apabila muncul juara Piala Belia Bawah 18 Tahun (B18) buat kali ketiga berturut-turut.
Kejayaan itu disahkan susulan keputusan perlawanan hujung minggu lalu yang menyaksikan JDT IV mengumpul 52 mata, sekali gus memiliki kelebihan lapan mata mengatasi pencabar terdekat, Akademi Mokhtar Dahari A (AMD A)
Dengan AMD A hanya berbaki dua perlawanan, kedudukan JDT IV di puncak liga tidak lagi mampu dipintas, sekali gus mengesahkan kejuaraan lebih awal.
Kejayaan tiga tahun berturut-turut itu turut menyerlahkan pencapaian berterusan program pembangunan pemain muda Akademi JDT.
Sementara itu, skuad JDT V yang dibarisi pemain bawah 16 tahun berada di tangga kelima selepas mencatat keputusan seri 1-1 ketika menentang AMD A.
Menariknya, JDT V turut bersaing dalam kategori B18 bersama JDT IV, yang melibatkan penyertaan keseluruhan 12 pasukan.
Penyertaan kedua-dua skuad itu memberi peluang kepada pemain muda JDT menimba pengalaman kompetitif, termasuk berdepan lawan yang lebih berusia.
Kejayaan JDT IV sekali lagi mengukuhkan rekod akademi Harimau Selatan dalam saingan bola sepak pembangunan remaja negara. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Johor Southern Tigers


