JOHOR BAHRU – Johor Darul Ta’zim (JDT) bakal berdepan cabaran getir apabila turun menentang kelab Korea Selatan, FC Pohang Steelers dalam aksi kedua saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACL Elite) 2026/27, petang ini.
Pertembungan yang berlangsung di Stadium Pohang Steel Yard, Korea Selatan itu dijadualkan bermula pukul 6 petang waktu Malaysia, Selasa (13 Oktober)
Skuad Harimau Selatan memburu kemenangan pertama dalam kejohanan berprestij Asia itu selepas mencatat keputusan seri 1-1 menentang Buriram United dari Thailand pada aksi pembukaan di Stadium Sultan Ibrahim, 15 September lalu.
Keputusan itu menyaksikan JDT mengumpul satu mata selepas satu perlawanan, dengan satu gol dijaringkan dan satu gol dibolosi setakat ini.
Sementara itu, Pohang Steelers juga sedang memburu kemenangan sulung selepas tewas 1-3 kepada Beijing FC dalam aksi pertama mereka pada 15 September lalu.
Justeru, pertemuan petang ini amat penting buat kedua-dua pasukan untuk memperbaiki kedudukan masing-masing dalam saingan Liga Zon Timur.
JDT dijangka berusaha memanfaatkan pengalaman beraksi di pentas Asia untuk membawa pulang keputusan positif dari Korea Selatan. – MYNEWSHUB


