MELAKA – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa Gelombang Biru bersedia menyahut cabaran Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dengan semangat perjuangan dan tekad untuk mencapai kemenangan.
Beliau berkata, semangat luar biasa keluarga besar BN jelas terpancar di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara ketika berlangsungnya proses penamaan calon pagi tadi.
“Inilah semangat sebuah pasukan yang tidak pernah gentar menghadapi cabaran.
“Kita datang dengan tekad yang satu, saf yang tersusun dan matlamat yang jelas, terus berjuang demi rakyat dan masa depan Negeri Melaka,” katanya menerusi hantaran di media sosial hari ini.
Ahmad Zahid berkata, seluruh jentera BN akan terus bekerja dan bergerak bersama bagi mencapai kemenangan yang dihasratkan pada pilihan raya kali ini.
“Insya-Allah. Kita bersama mara, kita terus bekerja dan kita berjuang sehingga mencapai kemenangan yang didambakan,” katanya.
Dalam hantaran sama, beliau turut menitipkan doa agar segala urusan calon dan jentera BN dipermudahkan serta setiap usaha dan pengorbanan mereka diberkati.
Beliau mengakhiri hantaran tersebut dengan laungan “Kita Geng Biru!” sebagai tanda semangat menghadapi PRN Melaka. – MYNEWSHUB


