KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju meningkatkan kadar gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 sebulan berkuat kuasa Jun 2027, sekali gus memberi manfaat kepada lebih 4 juta pekerja di seluruh negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu merupakan sebahagian usaha kerajaan merapatkan jurang produktiviti dan upah pekerja, selain menangani tekanan kos sara hidup yang semakin dirasai rakyat.
Ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, hari ini, beliau berkata, beban kos sara hidup timbul apabila pendapatan rakyat tidak meningkat seiring kenaikan harga barangan.
Menurutnya, pampasan pekerja kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) di Malaysia masih rendah, iaitu pada kadar 33.9 peratus.
“Kerajaan bersetuju untuk meningkatkan kadar gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000. Kadar ini berkuat kuasa mulai Jun 2027,” katanya.
Bagaimanapun, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan hasil jualan di bawah RM50 juta diberikan pengecualian bagi membolehkan mereka menyesuaikan model perniagaan masing-masing.
Anwar berkata, kenaikan gaji minimum itu hanya meningkatkan paras pendapatan terendah pekerja, sedangkan upah pekerja mahir masih belum setimpal dengan tahap kelayakan mereka.
Sehubungan itu, kerajaan akan melaksanakan pembaharuan kerangka pendapatan pekerja dengan memperkenalkan gaji minimum RM2,500 sebulan bagi pekerjaan separa mahir dan graduan sebagai permulaan.
Pada masa sama, beliau menyambut baik komitmen syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang meningkatkan penanda aras gaji sara hidup daripada RM3,100 kepada RM3,400 sebulan.
Langkah berkenaan dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 230,000 pekerja.
Anwar berkata, kerajaan telah mengambil beberapa langkah meningkatkan pendapatan rakyat termasuk menaikkan gaji minimum, menetapkan kadar gaji bagi pekerja separa mahir dan graduan serta menaikkan gaji penjawat awam.
Katanya, GLIC dan GLC turut menunjukkan teladan, manakala beberapa majikan dalam sektor utama seperti perbankan serta minyak dan gas sudah menetapkan kadar gaji lebih wajar.
“Oleh itu, saya menyeru semua majikan swasta untuk mengikut jejak yang sama,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Anwar turut mengumumkan langkah baharu bagi menutup ruang majikan menggaji pekerja asing tanpa izin.
Menurutnya, syarikat selain PMKS hanya dibenarkan menuntut potongan cukai bagi perbelanjaan gaji sekiranya pembayaran dibuat melalui akaun bank, selaras dengan saluran yang dibenarkan di bawah Akta Kerja 1955.
Bagaimanapun, syarat pembayaran melalui akaun bank itu tidak terpakai kepada tuntutan potongan cukai bagi perbelanjaan lain. – MYNEWSHUB


