KUALA LUMPUR – Ketua UMNO Bahagian Kangar, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya berkata, beliau melihat satu fenomena menarik dalam kalangan aktivis mahasiswa sebelum ini.
Menurutnya, mereka yang dahulunya lantang memperjuangkan ketelusan, integriti, reformasi dan keadilan mula berubah nada selepas memasuki gelanggang politik atau memegang jawatan.
“Ada yang dahulunya mengecam sesuatu tindakan, akhirnya terpaksa mempertahankan tindakan yang hampir serupa.
“Ada yang dahulu menuntut sesuatu dilaksanakan segera, akhirnya menyedari bahawa realiti pentadbiran jauh lebih rumit daripada slogan di pentas demonstrasi,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Fathul Bari berkata, beliau tidak semestinya menyalahkan golongan terbabit kerana terdapat perbezaan besar antara mereka yang sekadar membuat tuntutan dengan individu yang memikul amanah pentadbiran.
Menurutnya, pemegang jawatan perlu berhadapan dengan pelbagai kekangan, pertimbangan serta akibat daripada setiap keputusan dibuat.
“Mudah menjadi hakim ketika kita tidak perlu membuat keputusan. Mudah menjanjikan kesempurnaan ketika kita belum memikul tanggungjawab,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan realiti tersebut bukan alasan untuk membungkam kritikan kerana pemegang kuasa tetap wajib ditegur dan dipertanggungjawabkan.
Sebaliknya, beliau menentang sikap angkuh yang berselindung di sebalik nama perjuangan sehingga gagal melihat kelemahan diri sendiri.
“Jangan sampai universiti melahirkan manusia yang petah mencari salah orang, tetapi gagal mengenal kelemahan diri sendiri.
“Akhirnya, lantang itu belum tentu berilmu. Berani itu belum tentu benar. Dan pandai menghina bukan bukti seseorang itu pandai berhujah,” katanya.
Fathul Bari menegaskan universiti sepatutnya melahirkan pemikir kritis, bukannya pencela yang hanya pandai meninggikan suara.
Katanya, ilmu tanpa tawaduk melahirkan keangkuhan, manakala perjuangan tanpa adab boleh merosakkan nilai yang sedang diperjuangkan. – MYNEWSHUB
Sumber Info: Akaun Media Sosial Dr. Fathul Bari

