KUALA LUMPUR – Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek mengarahkan semua perkara di bawah tanggungjawab Kementerian Pendidikan (KPM) diperiksa secara menyeluruh susulan kematian seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun di sebuah sekolah di Yong Peng, Johor.
Beliau menegaskan tiada sebarang perkara boleh disembunyikan dalam semakan berhubung kejadian itu, termasuk rekod kehadiran murid ketika kelas tambahan serta aspek kawalan keselamatan dan rondaan di sekolah.
“Saya mahu semua perkara yang berada di bawah tanggungjawab Kementerian Pendidikan diperiksa dengan menyeluruh. Jangan sembunyikan apa-apa.
“Ini termasuk rekod kehadiran murid ketika kelas tambahan serta aspek kawalan keselamatan dan rondaan di sekolah. Syarikat kawalan keselamatan turut diminta memberikan kerjasama bagi semakan tersebut.
“Jika terdapat kecuaian atau tanggungjawab yang tidak dilaksanakan sebagaimana sepatutnya, tindakan tegas akan diambil,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Fadhlina berkata, beliau berada di Yong Peng pagi ini bagi mendapatkan sendiri
perkembangan kejadian yang meragut nyawa pelajar berkenaan dan telah menerima taklimat daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Batu Pahat serta pihak sekolah.
Menurutnya, beliau turut bertemu keluarga mangsa di Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat dan menegaskan keluarga pelajar berkenaan berhak mendapatkan jawapan berhubung apa yang berlaku.
“Dalam saat begini, tiada siapa yang merasakan kehilangan ini lebih dalam daripada keluarga. Seorang anak telah pergi. Keluarganya berhak mendapat jawapan,” katanya.
Berdasarkan maklumat PDRM yang diterimanya, mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di kawasan sekolah sebelum disahkan meninggal dunia, manakala seorang remaja lelaki berusia 16 tahun ditahan dan direman selama enam hari bagi membantu siasatan.
Kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, sementara motif dan punca kejadian masih dalam siasatan polis.
Fadhlina berkata, KPM akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada PDRM dan tidak akan mendahului siasatan, selain menyediakan sokongan kaunseling kepada murid serta warga sekolah yang terkesan.
Beliau turut meminta orang ramai memberikan ruang kepada keluarga mangsa dan menghormati proses siasatan yang sedang berjalan supaya kebenaran dapat diperoleh berdasarkan fakta, bukannya spekulasi. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Fadhlina Sidek


