KUALA LUMPUR – Penganalisis politik, Eric Lim Sian See memaklumkan akan membuat laporan polis terhadap pihak yang didakwanya menyunting dan menambah petikan ayat al-Quran pada tangkap layar komen asalnya sehingga mencetuskan tuduhan bahawa beliau menghina kitab suci umat Islam itu.
Menerusi hantaran di media sosial, Eric Lim mendakwa tindakan berkenaan dilakukan dalam usaha menghasut orang ramai supaya mengecam dan mengambil tindakan terhadap dirinya.
“Sebab itu, saya akan lapor polis terhadap pihak-pihak yang edit dan tambah petikan al-Quran itu kepada komen saya dalam cubaan mereka untuk hasut orang ramai bagi kenakan saya,” katanya.
Eric Lim menegaskan komen asalnya hanya merujuk kepada senarai perkataan unik yang digunakan dalam ucapan Belanjawan 2027, khususnya perkataan Arab “Lighad” yang diterjemahkan sebagai “untuk masa depan” menerusi grafik sebuah akhbar.
Menurutnya, ketika mengeluarkan komen tersebut, beliau langsung tidak mengetahui bahawa perkataan berkenaan turut terdapat dalam al-Quran.
Beliau menjelaskan, banyak perkataan Arab seperti dunia, ilmu, insan, amanah, adil dan syaitan sudah digunakan dalam bahasa Melayu, selain turut terdapat dalam kitab suci itu.
Bagaimanapun, katanya, perbuatan menyindir penggunaan sesuatu perkataan Arab tidak secara automatik bermaksud menghina al-Quran kerana konteks dan sasaran sebenar sesuatu komen perlu diambil kira.
Eric Lim turut berkongsi satu petikan yang diterimanya daripada seorang rakan menerusi WhatsApp, yang menggunakan perkataan “zahid” sebagai contoh.
“Contohnya, perkataan ‘zahid’ hadir dalam bentuk jamak ‘الزاهدين’ dalam Surah Yusuf, ayat 20. Kalau ikut logik bahawa semua sindiran terhadap perkataan yang terdapat dalam al-Quran ialah penghinaan terhadap kitab suci, adakah menghina seorang ahli politik bernama Zahid juga bermaksud menghina al-Quran?” menurut petikan dikongsikannya.
Susulan itu, Eric Lim mempersoalkan sama ada sindiran terhadap individu bernama Zahid juga boleh dianggap sebagai penghinaan terhadap al-Quran.
“Tentulah kena bezakan antara individu yang disindir, perkataan yang digunakan dan ayat suci itu sendiri. Tak boleh padam konteks asal, tampal ayat al-Quran di sebelah komen orang, kemudian terus jatuhkan tuduhan menghina agama,” tegasnya.
Eric Lim turut menafikan bahawa beliau sendiri yang meletakkan petikan ayat al-Quran bersebelahan komennya seperti yang tersebar.
Sebaliknya, beliau mendakwa petikan itu ditambah oleh pihak lain bersama tangkap layar komen asalnya, sekali gus memberikan gambaran berbeza daripada konteks sebenar.
Katanya, pihak yang menghasilkan dan menyebarkan gabungan gambar tersebut sepatutnya disiasat, termasuk bagi menentukan sama ada penyampaiannya telah mengelirukan orang ramai.
“Tak boleh orang lain susun gambar dan ubah konteks, kemudian saya pula dituduh berdasarkan susunan mereka,” katanya.
Kontroversi itu tercetus susulan komen Eric Lim mengenai penggunaan perkataan “Lighad” dalam ucapan Belanjawan 2027 yang mengundang kecaman beberapa pihak kerana didakwa memperlekehkan ayat al-Quran.
Bagaimanapun, Eric Lim menerusi hantaran di media sosial menafikan dakwaan tersebut dan menegaskan bahawa kritikannya ditujukan kepada penggunaan perkataan dalam ucapan belanjawan, bukannya terhadap ayat suci al-Quran. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Eric See-To – Lim Sian See



